KSIEWUSM bantah cadangan kurangkan cuti sakit pekerja

Laporan Sinar Harian pada Ahad. dan Mohd Razi
Laporan Sinar Harian pada Ahad. dan Mohd Razi
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Sekerja Industri Elektronik Wilayah Utara Semenanjung Malaysia (KSIEWUSM) membantah cadangan untuk mengurangkan cuti sakit pekerja, sebaliknya golongan profesional perlu memberi syor penambahbaikan lebih bersifat dinamik.

Presidennya, Mohd Razi Rahim menegaskan tenaga pakar perlu mengesyorkan majikan terutama Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) supaya tampil dengan saranan dalam menambah baik kebajikan dan kepentingan pekerja yang merupakan tulang belakang kepada pembangunan syarikat dan organisasi.

Menurut Mohd Razi, ia merujuk kepada pandangan pakar perundangan, Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod bahawa majikan boleh memohon untuk meminda kemudahan cuti sakit pekerja sekiranya perkara tersebut mendatangkan kerugian kepada syarikat selain cuti sakit untuk pekerja-pekerja muda wajar dikurangkan.

"Kami berpandangan ia merupakan satu pendirian keterkebelakang dalam memelihara dan menambah baik kebajikan pekerja.

"Kami tertanya-tanya bagaimana MEF mempunyai angka kos kerugian RM5 bilion yang didakwa dialami majikan setiap tahun daripada sudut penggunaan cuti sakit. Peruntukan berkaitan cuti sakit termaktub dalam Akta Kerja yang dikuatkuasakan sejak tahun 1955.

"Sudah lebih tujuh dekad akta itu dilaksanakan dan sudah tiba masa untuk menambah baik peruntukan berkaitan bukannya mengambil jalan regresif," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jelas Mohd Razi, penambahbaikan itu menjadi amat penting ketika seluruh dunia berhadapan dengan pandemik termasuk Covid-19 selain ia belum mengambil kira pelbagai penyakit lain tidak mengira usia.

Katanya, pekerja muda berusia 20-an hingga 30-an sudah mengalami penyakit sakit jantung dan kencing manis pada masa kini dan faktor itu menyebabkan sektor insurans memperkenalkan skim perlindungan 36 penyakit kritikal.

"Secara langsung ia menunjukkan bahawa sudah ada keperluan untuk menambah baik kemudahan cuti sakit bukannya mengurangkan skim terutama bagi golongan muda.

"Pada hari ini kos perubatan juga melambung naik sekali gus menjadi suatu beban kos sara hidup kepada pekerja.

"Dalam dunia diselubungi dengan pelbagai masalah dan tekanan dialami oleh pekerja secara langsung dan tidak langsung, majikan yang mengaut keuntungan terlalu besar dengan jumlah berbilion ringgit malah jauh lebih besar berbanding kos cuti sakit RM5 bilion yang dibangkitkan oleh MEF," ulasnya.

Justeru, beliau mempersoalkan adakah RM5 bilion itu terlalu besar berbanding keuntungan berkali ganda yang dinikmati oleh majikan.

Tambah beliau lagi, keadaan pekerja yang menyedihkan di negara ini adalah disebabkan oleh golongan profesional yang tidak melihat isu dialami oleh pekerja secara realistik.

"Malaysia telah dinilai sebagai tidak konsisten kepada kesejahteraan pekerja namun pakar pula menggalakkan kerajaan melanggar Standard Buruh Antarabangsa," ujarnya.

Jelas Mohd Razi, cadangan mengurangkan cuti sakit bertentangan dengan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) maka hak-hak berkenaan perlu dihormati oleh majikan baik sektor swasta mahupun kerajaan.

Mohd Razi juga menyokong pendirian Persatuan Khidmat Nasihat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) baru-baru ini tentang isu berkenaan.

"Kami membantah apa jua percubaan, usaha dan cadangan untuk mengurangkan cuti sakit.

"Majikan yang tidak mementingkan keuntungan semata-mata akan tahu dan sedar bahawa kos cuti sakit telah pun dimasukkan sebagai kos pengurusan yang akan ditolak daripada pendapatan bercukai. Jadi, tiada alasan untuk menafikan hak pekerja," jelasnya.

Mohd Razi memberitahu, golongan profesional dan MEF sewajarnya berhenti daripada meneruskan usaha mahu mengurangkan cuti sakit sebaliknya mencari jalan lain untuk kepentingan dan manfaat bersama antara majikan dengan pekerja.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan pakar perundangan, Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod menyatakan majikan boleh memohon untuk meminda cuti sakit pekerja sekiranya perkara tersebut adalah isu besar dan mendatangkan kerugian kepada syarikat.

Nik Ahmad Kamal berkata, bagaimanapun perkara tersebut perlulah seimbang tanpa berat sebelah kepada mana-mana pihak.

Sebelum ini, Presiden Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Syed Hussain Syed Husman berpandangan kemudahan cuti sakit wajar dikaji semula kerana ia membebankan majikan dari segi kos.

Syed Hussain mendakwa, majikan di Malaysia berdepan kerugian sekitar RM5.05 bilion kesan daripada pekerja yang mengambil cuti sakit.

Susulan itu, Presiden SPCAAM, J Solomon berkata, kenyataan Presiden MEF itu menunjukkan majikan tidak berperikemanusiaan dan tidak menghormati nyawa pekerja.