Kecewa dividen KWSP rendah, pakar kata masih munasabah

No Image Caption
A
A
A

PENGUMUMAN dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dinanti-nantikan oleh rakyat, akhirnya terjawab semalam.

Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam taklimat prestasi kewangan KWSP pada Sabtu mengumumkan dividen sebanyak 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus untuk simpanan syariah bagi tahun 2022.

Ia lebih rendah berbanding 2021, yang mana dividen bagi simpanan konvensional sebanyak 6.10 peratus dan 5.65 peratus untuk simpanan syariah.

Dapat dilihat jumlah kedua-dua simpanan itu berkurangan sebanyak 0.75 peratus dan 0.9 peratus.

Susulan itu, pelbagai pandangan dan reaksi orang ramai, menunjukkan kekecewaan namun ada juga menjangkakan dividen KWSP menurun pada tahun ini.

Amir Hamzah menjelaskan, penurunan tersebut berikutan tahun kewangan 2022 mencatatkan pertumbuhan global yang lebih perlahan dan kadar inflasi tinggi sekali gus menyebabkan prestasi pasaran menurun serta menjejaskan penjanaan pendapatan KWSP.

Ditambah pula dengan pengetatan dasar monetari oleh bank pusat utama untuk mengekang tekanan inflasi.

Antara lain, pada pengumuman sama, Amir Hamzah menyatakan bahawa jumlah simpanan KWSP bagi bumiputera di negara ini menunjukkan penurunan tertinggi iaitu sebanyak 70 peratus.

Ia tentunya menjadi satu kebimbangan besar mengenai masa depan persaraan masyarakat bumiputera kelak.

Menurut Amir Hamzah, pelbagai pengeluaran berkaitan pandemik Covid-19 dengan ketara menghakis tahap simpanan KWSP bumiputera.

"Secara keseluruhannya penengah atau median simpanan pencarum dilihat menurun pada tahun lalu berbanding sebelum pandemik.

"Ia susulan pengeluaran RM145 bilion daripada dana simpanan KWSP ketika negara berdepan pandemik Covid-19,"katanya.

Penjelasan daripada KWSP itu memberi isyarat jelas bahawa pengeluaran simpanan KWSP tidak wajar dibenarkan sekali lagi seperti ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, masyarakat disarankan untuk tidak mendesak kerajaan kerana pengeluaran itu berisiko akan memberi kesan negatif sekali gus menjejaskan simpanan persaraan masa tua pencarum.

Sementara itu, mengulas mengenai kadar dividen KWSP, Pakar Ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi menyifatkan jumlah yang diumumkan tidak rendah jika dibandingkan dengan keadaan pasaran saham dan keadaan ekonomi secara keseluruhan.

Sebaliknya, kadar dividen yang diumumkan adalah munasabah kerana lebih daripada yang dijangkanya.

Beliau menjelaskan, dividen tidak diberikan sebanyak tahun lalu kerana bayaran keuntungan daripada syarikat pelaburan KWSP rendah dan pasaran saham menutup di bawah paras permulaan tahun.

Dalam perkembangan lain, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa usul tambahan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO telah diterima Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Ahmad Zahid berkata, UMNO telah menerima surat bertarikh 3 Mac 2023 daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengesahkan bahawa ROS menerima usul yang diluluskan oleh PAU.

Nampaknya, pengusulan dan usaha ahli parti itu yang mahu kedua-dua jawatan itu dipertandingkan tidak kesampaian, ia ibarat air besar sampan tak hanyut.