'Saya sertai Putra untuk perjuangkan nasib orang Melayu' - Tun M

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan penyertaannya dalam Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) hanya untuk memperjuangkan nasib orang Melayu.

Bekas Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, Putra sekadar menjadi platform kepada beliau untuk terus membela orang Melayu.

“Kita pilih Putra sebagai platform sahaja, kita tak memihak semata-mata kepada parti. Kalau hanya fikir tentang parti, nak bagi menang parti, akhirnya orang Melayu macam hilang kuasa macam sekarang.

"Saya fikir itu bukan perjuangan baik. Perjuangan yang baik sekarang ini ialah kita ketepikan kepentingan diri, kepentingan parti dan utamakan kepentingan Melayu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas berakhir program Bersama Tun M: Dialog Sepentas Perjuangan Yang Hilang? di Mini Townhall, Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP) di sini pada Sabtu.

Program itu julung kali menggandingkan beliau bersama bersama bekas Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Zuraida Kamaruddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Pada 24 Februari lalu, media melaporkan Dr Mahathir bersama 13 lagi ahli yang sebelum ini keluar daripada Pejuang sah menyertai Putra.

Perkara itu disahkan oleh bekas Ahli Majlis Eksekutif Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin menerusi satu hantaran di Facebook.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir memberitahu, orang Melayu ketika ini berada dalam keadaan cukup bahaya kerana bukan sahaja tidak pernah menguasai ekonomi bahkan sudah kehilangan kuasa politik.

Dalam perkembangan lain, ditanya keputusan Pejuang yang dipimpin anaknya, Datuk Seri Mukhriz untuk menyertai Perikatan Nasional (PN), beliau berkata, ia terpulang kepada parti lamanya itu kerana beliau bukan lagi ahli Pejuang.

“Kita bebas dan negara kita demokrasi, hendak buat apa-apa pun buatlah. Sama ada disambut atau tidak itu soal lain. Saya tidak terlibat dengan Mukhriz sekarang ini sebab beliau Pejuang dan saya sudah keluar Pejuang,” ujarnya.