Tanah penempatan haram milik syarikat pemaju

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

SEREMBAN - Penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) yang diserbu Jabatan Imigresen di sini pada Jumaat dibina atas tanah milik persendirian.

Pegawai Daerah Seremban, Mohd Nizam Tajul Arus berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati tanah terbabit milik sebuah syarikat pemaju.

"Tanah itu bukan milik kerajaan, tapi tanah persendirian iaitu milik sebuah syarikat pemaju.

"Tapi kita tidak pasti sama ada pihak pemaju mengetahui kawasan itu kini sudah menjadi penempatan warga asing atau tidak dan siasatan lanjut masih dilakukan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, mana-mana pemilik tanah bertanggungjawab memastikan tanah mereka tidak diceroboh dan dijadikan penempatan haram oleh mana-mana pihak.

Sementara itu, beliau juga menyatakan keyakinan yang pihak berkuasa sedang mengambil tindakan sewajarnya bagi membasmi kewujudan penempatan haram bukan saja di daerah Seremban tetapi juga di seluruh negeri.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penempatan haram yang terletak di kawasan berbukit dan mempunyai keluasan kira-kira dua padang bola itu telah wujud sejak beberapa tahun lepas.

Dalam operasi yang turut dibantu Bahagian Penguatkuasaan Imigresen KLIA, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan itu, seramai 47 warga asing berusia antara 61 tahun hingga satu tahun telah diperiksa dan 32 daripadanya telah ditahan.

Mereka terdiri daripada 16 lelaki dan 15 wanita serta seorang kanak-kanak perempuan.