Penempatan haram PATI seluas dua padang bola digempur

Pemandangan dari udara penempatan haram warga asing di Bandar Ainsdale.
Pemandangan dari udara penempatan haram warga asing di Bandar Ainsdale.
A
A
A

SEREMBAN - Selepas sebulan penempatan haram warga asing di Nilai Spring di Nilai digempur pihak berkuasa, satu lagi penempatan haram ditemui iaitu di kawasan hutan berhampiran Bandar Ainsdale di sini dipercayai dibuka sejak beberapa tahun lalu.

Penempatan haram yang terletak di kawasan berbukit dan mempunyai keluasan kira-kira dua padang bola itu dikesan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan dalam serbuan dilakukan jam 1 pagi pada Jumaat.

Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, di lokasi terbabit, terdapat khemah-khemah didirikan yang dijadikan tempat persembunyian pendatang asing tanpa izin (PATI).

"Penempatan ini berada di kawasan permukaan bumi tidak rata yang boleh mendatangkan risiko kecederaan yang tinggi kepada semua pegawai yang terlibat.

"Pasukan operasi juga terpaksa berjalan kaki melalui kawasan hutan sejauh satu kilometer sebelum sampai ke lokasi," katanya dalam kenyataan kepada media pada Jumaat.

Sementara itu katanya, dalam operasi yang turut dibantu Bahagian Penguatkuasaan Imigresen KLIA, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan itu, seramai 47 warga asing berusia antara 61 tahun hingga satu tahun telah diperiksa dan 32 daripadanya telah ditahan.

JIMN menyerbu penempatan haram warga asing di Bandar Ainsdale. - Foto JIM NS
JIMN menyerbu penempatan haram warga asing di Bandar Ainsdale. - Foto JIM NS

Tambahnya, mereka terdiri daripada 16 lelaki dan 15 wanita serta seorang kanak-kanak perempuan.

"Kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan tersebut sejak beberapa tahun lepas bagi mengelak daripada dikesan oleh pihak berkuasa.

"Semasa serbuan, terdapat PATI yang cuba meloloskan diri daripada ditahan namun dapat dipatahkan oleh pasukan operasi," katanya.

Selain itu katanya, antara kesalahan yang dilakukan ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Ujarnya, kesemua yang ditahan akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

"Kita juga sedang mengenal pasti sama ada penempatan ini didirikan atas tanah milik persendirian atau tanah kerajaan negeri yang diteroka secara haram.

"Pihak berkuasa tempatan akan dimaklumkan untuk tujuan perobohan jika didapati penempatan ini berada atas tanah milik kerajaan," katanya.