Lynas mahu dapat terus beroperasi

Lynas
Lynas
A
A
A
KUANTAN - Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) akan terus berusaha untuk memastikan kilang memproses nadir buminya di Gebeng di sini, dibenarkan beroperasi.

Timbalan Presiden Modal Insan dan Komuniti Lynas, Mimi Afzan Afza Abdullah berkata pihaknya bersedia berbincang dan meneliti setiap cadangan daripada pihak berkaitan dalam perkara itu serta berharap mendapat kerjasama daripada kerajaan.

Beliau berpendapat jika operasi itu dihentikan, ia adalah sesuatu yang merugikan kerana setakat ini, Lynas telah melahirkan dan melatih ramai pakar dalam bidang pemprosesan nadir bumi daripada kalangan rakyat tempatan.

"Lynas telah melahirkan 645 tenaga kerja berkemahiran yang menunjukkan kita memiliki rakyat cerdik pandai yang berupaya menjalankan kajian dan pembangunan (R&D) dalam bidang ini.

"Produk yang dihasilkan kilang Lynas sememangnya digunakan untuk membuat peralatan yang berteknologi tinggi pada masa kini dan masa hadapan... justeru kita perlu gunakan kemahiran dan teknologi yang ada sebaik-baiknya," katanya.

Mimi Afzan Afza berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai Program Back To School melibatkan 250 kanak-kanak kurang berkemampuan termasuk anak yatim dari sekitar Beserah, Balok dan Sungai Ular yang diadakan di sebuah gedung pakaian di sini, hari ini.

Beliau juga berharap kerajaan dapat mengambil kira perkara positif yang boleh diperoleh daripada teknologi pemprosesan nadir bumi, walaupun mendakwa memorandum yang dihantar oleh segelintir pekerja Lynas seolah-olah 'dipandang sepi'.

"Industri ini banyak memberi manfaat kepada rakyat dan negara, Kita berharap ia tidak berkubur. Kita harus mengambil peluang keemasan ini kerana ia sudah berada di depan mata.

"Kami berharap kepakaran yang ada di Lynas Malaysia tidak disia-siakan... kami sedia bekerjasama dalam membina Malaysia yang maju serta berjaya," katanya.
Artikel Berkaitan:


Pada Selasa lepas, 130 pekerja Lynas berhimpun berhampiran pintu masuk utama Parlimen untuk menyerahkan memorandum kepada kerajaan dengan harapan operasi syarikat itu dapat diteruskan.

Memorandum itu dibuat kerana mereka mendakwa Lynas berdepan masalah birokrasi melibatkan pematuhan saringan operasi kilang yang berisiko menyebabkan lesen syarikat itu tidak dapat diperbaharui sebelum September 2019.

Ini menimbulkan kekhuatiran kepada mereka sekiranya hilang pekerjaan. - Bernama