PM mahu peruntukan cukup bantu mangsa banjir

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

MANILA - [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu peruntukan yang mencukupi disalurkan kepada mangsa banjir di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah dan Melaka, yang sehingga kini telah menjejaskan 29,000 orang.

Perdana Menteri berkata, beliau juga mengadakan perbincangan dengan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, tentang keadaan terkini bencana banjir dan jenis bantuan yang akan diberikan, sebelum berlepas pulang dari Filipina pada Khamis.

"Mengenai banjir di Johor dan Pahang, saya telah diberikan maklumat semasa (tentang bencana).

"Saya telah berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri (Ahmad Zahid) supaya peruntukan yang cukup untuk mangsa-mangsa banjir,” kata beliau kepada media Malaysia pada akhir lawatan dua harinya ke Filipina pada Khamis.

Sebelum itu, Perdana Menteri bertemu dengan kira-kira 100 orang rakyat Malaysia di Rumah Malaysia di ibu negara Filipina itu.

Anwar juga mengarahkan supaya kerja-kerja pembinaan jambatan di Felda Selancar di Rompin yang laluan utama ke kawasan itu runtuh akibat banjir dan hakisan yang teruk dapat dilakukan dengan secepat mungkin.

Mengenai lawatan selama dua hari ke Filipina bermula semalam, Perdana Menteri berkata, ia menggambarkan kepentingan hubungan dua hala antara negara berjiran.

Malaysia dan Filipina, kata beliau, harus mempertingkatkan kerjasama dua hala melibatkan pelbagai bidang termasuk perdagangan dan pelaburan serta pendidikan dan latihan yang suatu ketika dahulu amat aktif.

Anwar berkata, dalam pertemuan dengan beberapa pihak swasta Filipina hari ini, beberapa pelabur negara itu menunjukkan minat untuk melabur di Malaysia termasuk dalam sektor makanan dan kewangan.

Beliau meminta kementerian dan agensi-agensi berkaitan supaya menyegerakan pertemuan dengan pelabur-pelabur berpotensi tersebut.

Mengenai usaha pendamaian di Mindanao, Anwar berkata Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr amat menghargai usaha-usaha dilaksanakan oleh Malaysia dalam membawa pendamaian di wilayah bergolak itu.

"Usaha-usaha membawa pendamaian di Mindanao itu perlu terus diperkemas dan dipercepat,” kata beliau, namun pada masa yang sama mengakui isu selatan Filipina sudah lama berlarutan dan bukanlah sesuatu yang mudah untuk diselesaikan.

Bagaimanapun, Malaysia menurut beliau, mempunyai tanggungjawab sebagai negara jiran dan sebuah negara Islam untuk memastikan kejayaan bermakna dan pendamaian yang kekal di wilayah itu.

Beliau juga telah meminta Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyelaraskan usaha mempelawa tokoh-tokoh Mindanao termasuk Ketua Menteri Wilayah Autonomi Bangsamoro di Muslim Mindanao Murad Ebrahim ke Malaysia.

Kehadiran tokoh-tokoh Mindanao itu di Malaysia adalah untuk mengadakan perbincangan dengan jabatan dan agensi-agensi berkaitan tentang pengurusan pentadbiran di wilayah selatan Filipina itu dan menjayakan usaha pendamaian, kata beliau.

Perdana Menteri juga mahu mengadakan perbincangan dengan pelabur-pelabur sama ada berkaitan dengan sektor perladangan dan perindustrian yang berminat untuk melabur di selatan Filipina bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan dan sama-sama membangunkan wilayah itu.

Selepas dua hari mengadakan lawatan rasmi ke Filipina, Anwar yang ditemani isteri, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berlepas pulang ke Malaysia petang tadi.- Bernama.