Tiada unsur 'gangsterisme' dalam pemilihan UMNO

Mustapha (kanan) menunjukkan antara senarai calon dari UMNO Terengganu selepas menghadiri taklimat khas JPU Terengganu di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Kuala Terengganu pada Rabu.
Mustapha (kanan) menunjukkan antara senarai calon dari UMNO Terengganu selepas menghadiri taklimat khas JPU Terengganu di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di Kuala Terengganu pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) menafikan wujudnya unsur-unsur 'gangsterisme' atau mereka yang berlagak samseng yang bertindak mengugut calon yang dikhuatiri memberikan saingan dalam pemilihan parti bagi penggal 2023-2026.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub berkata, setakat ini unsur-unsur sebegitu belum pernah berlaku kerana amalan itu (pertandingan jawatan) dilakukan sebagai sebuah keluarga.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya cerita-cerita yang mengatakan wujud perkara seumpama itu dalam pemilihan parti.

"Jangan percaya dengan mana-mana cerita sebegitu kerana dalam UMNO tidak pernah berlaku ugutan, unsur-unsur gangsterisme, pukul atau perkara seumpamanya," tegasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat khas JPU Terengganu di Bangunan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu di sini pada Rabu.

Menurut Mustapha, beliau percaya calon-calon yang tewas tidak akan bertindak meninggalkan parti sekali pun tidak menjawat apa-apa jawatan dalam parti.

"Kita bertanding dalam satu keluarga dan saya cukup yakin bahawa calon yang tewas nanti akan berlapang dada dan tetap bersama dalam UMNO," ujar beliau.

Sementara itu, Mustapha yang juga Setiausaha Agung Veteran UMNO berkata, pemilihan UMNO kali ini yang menyaksikan penyertaan lebih 11,000 calon bertanding disifatkan antara yang tertinggi.

Ujar beliau, perkembangan itu membuktikan amalan demokrasi dalam parti tersebut masih subur.

Beliau memberitahu, ia menjadi penanda aras bahawa UMNO masih mempunyai ramai pemimpin pelapis muda yang berbakat untuk merebut jawatan di peringkat pusat, bahagian dan tiga sayap parti.

"Pemilihan UMNO kali ini lebih meriah. Ia menafikan tuduhan yang dilemparkan selama ini kononnya UMNO semakin lesu dan tidak bermaya dalam arena politik negara.

"Berbeza dengan pemilihan parti pada tahun 2018, ketika itu ramai pemimpin-pemimpin yang 'masuk gua' untuk bersembunyi selepas kalah PRU14 (Pilihan Raya Umum ke-14).

"Oleh kerana gua yang gelap gelita itu sudah nampak ada cahaya masuk, maka pemimpin-pemimpin ini sudah 'keluar' gua dan mula menawarkan diri untuk bertanding dan merebut jawatan," katanya.

Bagaimanapun, Mustapha berkata, wujud sedikit kebimbangan sama ada mereka yang muncul kembali benar-benar ikhlas atau mempunyai niat lain.

"Bagi yang benar-benar setia dan ikhlas dengan parti itu tiada masalah dan tiada apa yang hendak dibimbangkan.

"Cuma kita takut, adakah mereka ini yang kembali kepada UMNO dengan ikhlas atau tidak atau mempunyai niat yang tidak elok," ujarnya.

Persaingan merebut jawatan dalam Pemilihan UMNO bagi penggal 2023-2026 bermula selepas tempoh pendaftaran calon ditutup secara rasmi jam 5 petang pada Ahad.