Hasil petroleum: 'Kelantan tak akan berdiam diri'

Wan Roslan (kanan) berbincang bersama urusetia Program Male Gegey Gegok Anok Mudo Kelate selepas sidang akhbar pada Rabu.
Wan Roslan (kanan) berbincang bersama urusetia Program Male Gegey Gegok Anok Mudo Kelate selepas sidang akhbar pada Rabu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan tidak akan berdiam diri untuk terus berjuang mendapatkan hak hasil petroleum selepas dimaklumkan mengenai perkara itu 24 Februari lalu.

Setiausaha Pas Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, kerajaan negeri kini sedang merancang dan merangka perbincangan bagi tujuan berkenaan.

"Kita ni ibarat naik kereta, kita berhenti apabila tiba di 'traffic light' tetapi tidak mematikan enjin," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar Program Male Gegey Gegok Anok Mudo Kelate pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan negeri kini sedang merangka perkara yang perlu dilakukan termasuk memanggil pakar perundangan, pakar berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mencari ruang memperjuangkan hasil berkenaan.

"Kita akan memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan untuk tujuan berkenaan," katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memberitahu, Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus kerana kedudukan medan pengeluaran berada di luar 3 batu nautika dari garis air surut wilayah kedua-dua negeri di Pantai Timur itu.

Menurut beliau, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) menetapkan setiap negeri mempunyai hak ke atas laut wilayah di pesisir yang berdampingan dengan pantai wilayahnya yang tidak melebihi 3 batu nautika dari garis air surut.

Dalam pada itu, Wan Roslan yang juga Exco Jawatankuasa Belia dan Sukan dan NGO memberitahu, rakyat boleh menilai sendiri kerajaan hari ini kerana sebelum itu mereka antara yang memperjuangkan hak hasil berkenaan.

"Kita akan terus memperjuangkan keadilan dan kesaksamaan daripada kerajaan," ujarnya.