Kelantan, Terengganu tidak layak terima hasil petroleum 5 peratus

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak lima peratus kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar 3 batu nautika dari garis air surut wilayah kedua-dua negeri di Pantai Timur itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) menetapkan setiap negeri mempunyai hak ke atas laut wilayah di pesisir yang berdampingan dengan pantai wilayahnya yang tidak melebihi 3 batu nautika dari garis air surut.

"Oleh yang demikian, Perjanjian Pembayaran Wang Tunai (Cash Payment Agreement) yang ditandatangani antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu memperuntukkan Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu boleh diberi pembayaran tunai sebanyak 5 peratus untuk petroleum yang didapati dan diperoleh (won and saved) di Kelantan dan Terengganu dalam jarak 3 batu nautika dari garis air surut.

"Namun, Petronas tidak pernah menyalurkan hasil petroleum secara langsung kepada negeri Kelantan dan Terengganu selama ini kerana kedudukan medan pengeluaran adalah terletak di luar 3 batu nautika dari garis air surut wilayah negeri Kelantan dan Terengganu," katanya menjawab soalan bertulis dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) di Dewan Rakyat.

Muhyiddin bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk menyalurkan hasil petroleum secara terus kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu seperti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Pada masa sama, Azalina berkata, Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan telah menyalurkan wang ehsan kepada negeri-negeri terdekat dengan kawasan pengeluaran termasuk negeri Kelantan dan Terengganu bagi melaksanakan projek dan program untuk manfaat rakyat di negeri berkenaan.

Pada Januari 2022 lalu, Kerajaan Pusat dilaporkan sudah menyalurkan hasil petroleum sebanyak RM400 juta kepada Kelantan bagi tempoh dua tahun membabitkan pembayaran hasil petroleum pada 2020 dan 2021.