Kulai daerah terbaharu terjejas banjir di Johor

Anggota APM Kluang membantu memindahkan mangsa banjir. - Foto APM Kluang
Anggota APM Kluang membantu memindahkan mangsa banjir. - Foto APM Kluang
A
A
A

JOHOR BAHRU – Daerah Kulai menjadi daerah kelima terjejas akibat banjir apabila satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (C) Bukit Batu, Kulai pada Rabu setakat jam 9 pagi Rabu.

Kesemua 74 mangsa daripada 21 keluarga yang ditempatkan itu adalah dari Kampung Melayu Bukit, Batu.

Menurut laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), pembukaan PPS berkenaan menjadikan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 25 PPS ketika ini meningkat kepada 2,162 mangsa.

“Setakat jam 9 pagi Rabu, sebanyak 25 PPS dibuka melibatkan enam di Segamat dan Kota Tinggi, Kluang (sembilan), Kota Tinggi (tiga) dan satu di Kulai berikutan pertambahan mangsa banjir.

“Segamat merekodkan jumlah mangsa paling ramai dengan 746 mangsa daripada 2019 keluarga diikuti Kluang (650 orang, 188 keluarga), Johor Bahru (560 orang, 131 keluarga), Kota Tinggi (132 orang, 32 keluarga) dan Kulai (74 orang, 21 keluarga).

“Ketika ini, data kesemua mangsa juga sedang dikemas kini oleh petugas di setiap PPS,” menurut laporan berkenaan.

Dalam pada itu, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat dijanga berterusan di Johor sehingga 2 Mac 2023, namun dalam masa sama, tiada amaran ribut petir yang dikeluarkan bagi negeri Johor.

Sementara 10 sungai di lima daerah berada pada aras bahaya apabila mencatatkan peningkatan susulan hujan lebat sejak, Selasa.

“Bagi daerah Segamat, Sungai Segamat Kecil mencatatkan 38.32 meter (m), Sungai Batu Pahat (13.74m) dan Sungai Lenik, Ladang Chaah (6.7 m) manakala bagi daerah Kulai, Sungai Siku (18.93m), Sungai Skudai (18.80m) dan Kampung Melayu Bukit Batu (12.01).

“Selain itu, Sungai Kahang di Kluang mencatatkan 15.49m, Sungai Kampung Ulu Pulai di Pontian mencatatkan (2.85m) dan bagi daerah Johor Bahru, Kampung Laut (5.60m) dan Kampung Pasir (1.05m),” menurut laporan berkenaan.