Johor kembali dilanda banjir, 1,591 mangsa dipindahkan

Jalan Lama Pasir Gudang yang dinaiki air. - Foto APM Johor
Jalan Lama Pasir Gudang yang dinaiki air. - Foto APM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU – [DIKEMAS KINI] Banjir kembali melanda negeri ini apabila seramai 1,591 mangsa daripada 560 keluarga ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi Rabu.

Menurut laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), kesemua mangsa melibatkan penduduk dari empat daerah terjejas iaitu Segamat, Kluang, Johor Bahru dan Kota Tinggi.

Segamat merekodkan mangsa paling tinggi iaitu seramai 746 orang daripada 209 keluarga, Johor Bahru (560 orang daripada 131 keluarga), Kluang (162 orang daripada 1,888 keluarga) dan Kota Tinggi (123 orang daripada 32 keluarga).

“Setakat jam 8 pagi Rabu, sebanyak enam PPS dibuka masing-masing di Segamat, Kluang dan Johor Bahru sementara hanya tiga PPS dibuka di Kota Tinggi bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir berkenaan.

“Ketika ini, kesemua data kesemua mangsa juga sedang dikemas kini oleh petugas di setiap PPS,” menurut laporan berkenaan.

Dalam pada itu, laluan Jalan Masai Lama, Pasir Gudang yang menghubungkan Taman Scientex dan pekan Masai dilaporkan turut dinaiki air pada 7.30 pagi pada Rabu.

Keadaan itu menyebabkan jalan berkenaan terputus dan menyebabkan banyak kenderaan terkandas.

Sementara itu, menurut laporan Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan lebat dijanga berterusan di Johor sehingga 2 Mac 2023, namun dalam masa sama tiada amaran ribut petir yang dikeluarkan.