Subsidi petrol: Kerajaan jimat RM17 bilion jika T20 tidak terlibat

Ahmad Maslan- Foto Bernama.
Ahmad Maslan- Foto Bernama.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan mampu peroleh penjimatan sehingga RM17 bilion sekiranya golongan berpendapatan tinggi (T20) tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG).

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan, penggunaan ketiga-tiga bahan api itu dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) hanya sekitar 24 peratus manakala berpendapatan sederhana (M40) sebanyak 41 peratus dan kumpulan T20 adalah 35 peratus pada 2022.

"Dari segi angka ialah RM50.8 bilion, kalau darab dengan 35 peratus yang digunakan T20, nilainya RM17.8 bilion.

"Jika T20 tidak diberikan subsidi petrol, diesel dan LPG, anggaran penjimatan RM15 bilion ke RM17 bilion, jadi ahli-ahli Yang Berhormat boleh bayangkan berapa banyak perkara lain yang kita boleh guna untuk bantu rakyat dalam pelbagai perkara dan urusan di 26 kementerian," katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) yang ingin mengetahui sama ada langkah kerajaan menggunakan pangkalan data bersepadu dalam mekanisme pemberian subsidi bersasar berkesan untuk mengelak ketirisan.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, kerajaan masih mengekalkan pelaksanaan subsidi sedia ada demi kepentingan rakyat sehingga satu keputusan baharu dibuat antaranya subsidi bersasar.

Dalam pada itu Ahmad (BN-Pontian) berkata, kerajaan sentiasa memberi komitmen terbaik dalam melaksanakan pemberian subsidi bersasar bagi mengurangkan ketirisan.

“Langkah pertama yang diambil adalah melalui pemberian subsidi bil elektrik secara bersasar pada separuh tahun 2023 apabila sebahagian kos dilepaskan kepada industri termasuk perbadanan multinasional.

“Melalui langkah ini, kerajaan masih menanggung jumlah subsidi elektrik sebanyak RM10.8 bilion berbanding jumlah asal sebanyak 14.9 bilion ringgit,” katanya.

Sementara itu bagi menjawab soalan tambahan daripada Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) mengenai tindakan kerajaan terhadap individu yang melakukan penyeludupan bahan api, Ahmad berkata, kerajaan akan terus memantau aktiviti berkenaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia.

Katanya, harga RON95 di Malaysia adalah jauh lebih murah iaitu RM2.05 seliter berbanding negara jiran seperti Indonesia (RM3.78 seliter), Singapura (RM8.51 seliter),dan Thailand (RM5.71 seliter).