Bincang peruntukan naik taraf lebuh raya selepas hala tuju Johor

Mohamad Fazli
Mohamad Fazli
A
A
A

KOTA TINGGI – Sebarang perbincangan berhubung peruntukan tambahan bagi menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan di laluan Yong Peng Utara ke Senai Utara (Senai-Desaru Expressway) melibatkan pertambahan lorong memotong daripada empat ke enam lorong bakal dilakukan setelah mendengar hala tuju daripada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri ketika ini menyambut baik dan bersetuju dengan peruntukan yang diumumkan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Belanjawan 2023 Jumaat lalu.

Malah katanya, setelah mengetahui hala tuju berkenaan, perbincangan juga perlu dilakukan bagi mendapat maklum balas sebelum ke fasa seterusnya.

“Saya tengah tunggu hala tuju daripada Menteri Besar... buat masa ini kita setuju dengan apa yang di sebut Perdana Menteri dan berterima kasih sebab sebut dalam ucapan Belanjawan dengan peruntukkan lebih kurang RM560 juta.

“Cuma untuk fasa seterusnya saya kena bincang semula dengan kerajaan negeri untuk strategi seterusnya,” katanya pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar ketika melakukan lawatan kerja ke tapak projek penyelenggaraan jalan-jalan Persekutuan di laluan FT1416 Inas- Kota Tinggi.

Untuk rekod, pada pembentangan Belanjawan 2023 Jumaat lalu, Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk melaksanakan projek naik taraf laluan lebuh raya dari Yong Peng Utara ke Senai Utara melibatkan Senai Desaru Expressway (SDE) daripada empat kepada enam lorong secara berfasa melibatkan kos sebanyak RM525 juta.

Selain itu, kerajaan Persekutuan juga bersetuju untuk menambah baik kemudahan jaringan lebuhraya ke Pengerang melalui pembinaan lorong memotong di SDE.

Sementara itu, Mohammad Fazli berharap agar peruntukan berjumlah RM5.2 bilion yang diberikan kepada Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) dapat disalurkan segera bagi tujuan penyelenggaraan jalan-jalan di negeri.

“Kita harap peruntukan dapat diturunkan segera, RM 5.2 billion untuk MARRIS dan saya harap Johor mendapat sebahagian besar daripadanya memandangkan banyak jalan-jalan Persekutuan di negeri ini.

“Selain itu, kedudukkannya (Johor) juga bersebelahan dengan negara maju, Singapura...lagipun untuk makluman semua, peruntukan MARRIS sebenarnya bukan sahaja untuk jalan tetapi termasuk juga untuk longkang, perabot jalan, papan tanda dan sebagainya," ujarnya.