Ejen pembantu rumah haram bergelar Datuk, Datin diberkas

Anggota JIM melakukan pemeriksaan terhadap wanita warga Indonesia yang diberkas dalam serbuan di kediaman pasangan suami isteri bergelar Datuk dan Datin pada 16 Februari lalu.
Anggota JIM melakukan pemeriksaan terhadap wanita warga Indonesia yang diberkas dalam serbuan di kediaman pasangan suami isteri bergelar Datuk dan Datin pada 16 Februari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan ejen pembantu rumah haram terbongkar menerusi serbuan di sebuah rumah dimiliki individu bergelar Datuk pada 16 Februari lalu.

Serbuan dijalankan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia itu mendapati lokasi serbuan turut menempatkan 13 wanita warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen sah.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pemilik rumah terbabit merupakan individu bergelar Datuk bersama isterinya ditahan ketika serbuan.

"Kedua-dua suspek yang ditahan berumur 66 dan 56 tahun di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen.

"Selain itu, kesemua 13 wanita Indonesia yang ditahan turut didapati menyamar sebagai pelancong menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS)," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, siasatan mendapati kesemua wanita Indonesia yang ditahan itu akan dibekalkan sebagai pembantu rumah dan juga pekerja pembersihan.

"Mereka akan dikenakan bayaran antara RM3,500 hingga RM4,500 seorang sebagai bayaran perkhidmatan mengurus kemasukan yang akan dipotong melalui gaji bulanan.

"Siasatan dijalankan turut mendapati pasangan ini menjalankan aktiviti mengurus kemasukan dan pembekalan pembantu rumah secara haram bersama-sama ejen yang dikenali dari Indonesia," katanya.

Antara wanita warga Indonesia yang diberkas dalam serbuan di sebuah kediaman dimiliki pasangan suami isteri bergelar Datuk dan Datin pada 16 Februari lalu.
Antara wanita warga Indonesia yang diberkas dalam serbuan di sebuah kediaman dimiliki pasangan suami isteri bergelar Datuk dan Datin pada 16 Februari lalu.

Menurutnya, kesemua suspek yang ditahan disyaki telah melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 (Akta 155) dan juga kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Kes akan turut dirujuk kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia berkait aktiviti pengambilan dan pembekalan pekerja yang dijalankan tanpa lesen yang sah.

"Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan aktiviti ini dan sentiasa merujuk kepada maklumat terkini dari Imigresen Malaysia dan juga Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Kementerian Sumber Manusia," katanya.