Bomba terbangkan bayi jantung berlubang ke Hospital Serdang

Ming Zhi (kanan) menemani anaknya, Yean Ping bersama beberapa paramedik ke Hospital Serdang untuk menjalani pembedahan jantung dengan menaiki helikopter jBPM pagi tadi.
A
A

GEORGETOWN - Seorang bayi yang menghidap penyakit jantung berlubang diterbangkan dari Hospital Pulau Pinang (HPP) ke Hospital Serdang, Selangor bagi mendapatkan rawatan lanjut pagi tadi.

Alicia Boi Yean Ping, 7 bulan, disahkan menghidap Trachea Stenosis With Ventricular Septal Defect dibawa dari HPP oleh penerbangan ihsan dari Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Bertam pada jam 8.30 pagi.

Bayi berkenaan ditemani ibunya, Lee Ming Zhi, 30-an berlepas dari Padang Polo, di sini, untuk ke Hospital Serdang bagi menjalani pembedahan jantung di hospital berkenaan.

Selain dua beranak yang berasal dari Pulau Pinang itu, penerbangan tersebut turut membawa enam kru JPBM dan empat paramedik HPP.

Kesemua mereka menaiki helikopter AW Y39 yang dikendalikan juruterbang Kapten Faizal Izani.

Sementara itu, Ming Zhi berkata, anak sulungnya itu mengalami masalah jantung berlubang dan dirawat selama dua bulan di HPP.

"Anak saya akan ke Hospital Serdang untuk menjalani pembedahan pada jantungnya.

"Saya amat terharu dan berterima kasih kepada JPBM kerana membantu saya dan anak saya untuk mendapatkan rawatan jantung di sana nanti," katanya ketika ditemui tadi.