'Pelupusan hutang Felda RM8.3 bilion telah selesai'

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelupusan sebahagian hutang peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berjumlah RM8.3 bilion daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM12.1 bilion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021.

Pengerusinya, Tan Sri Idris Jusoh berkata, keputusan tersebut tidak pernah dibatalkan oleh mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, semua peneroka yang menandatangani perjanjian pelupusan hutang tersebut telah menikmati manfaat dengan bayaran kembali pinjaman yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar.

“Buat masa ini, Felda tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang kali kedua memandangkan pelupusan yang dilaksanakan pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar kepada aliran tunai Felda.

“Bayaran kembali baki pinjaman kini akan diteruskan seperti perjanjian pelupusan hutang tersebut demi menjamin kelangsungan organisasi dan membolehkan Felda terus menjaga kebajikan warga peneroka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Menurut Azalina, kerajaan tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8 bilion yang diperkenalkan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021.

Azalina berkata, ini kerana penghapusan hutang peneroka Felda secara berterusan memberi impak besar terhadap aliran tunai entiti itu.

Tambah Idris, kerajaan melalui Felda tetap komited untuk terus membantu peneroka dan sedang melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pendapatan penerokanya serta memastikan hutang yang ditanggung tidak terus meningkat.

“Komitmen ini telah terbukti apabila pada tahun 2022, purata produktiviti ladang peneroka telah meningkat sehingga 19.43 tan per hektar setahun berbanding 17.29 tan per hektar setahun mewakili peningkatan lebih 12 peratus.

“Ini sekali gus akan dapat memberikan pulangan pendapatan yang lebih tinggi kepada warga peneroka Felda,” ujarnya.