Kerajaan henti inisiatif penghapusan hutang Felda

Azalina
Azalina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan membuat keputusan menghentikan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda yang dimulakan kerajaan di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan kini tidak dapat meneruskan pelaksanaan penghapusan hutang peneroka Felda secara berterusan kerana penghapusan hutang pada tahun 2021 telah memberi impak yang besar terhadap aliran tunai Felda.

"Oleh yang demikian, kutipan balik baki hutang ataupun pinjaman yang telah dikeluarkan sehingga kini perlu terus dilakukan sebagai sumber pendapatan Felda untuk kelangsungan organisasi dan kebajikan warga peneroka Felda.

"Hal ini disebabkan kutipan hutang peneroka Felda merupakan salah satu sumber pendapatan Felda yang penting bersamaan dengan 10.8% jumlah pendapatan jangkaan bagi tahun 2023," katanya menjawab soalan bertulis dikemukakan Kamal Ashaari (PN-Kuala Krau) di Dewan Rakyat.

Kamal bertanya sama ada Putrajaya akan meneruskan pelupusan pinjaman kepada peneroka Felda.

Azalina menambah, walaupun Kerajaan tidak dapat meneruskan penghapusan hutang peneroka, Felda komited membantu peneroka dengan melaksanakan inisiatif bagi memastikan hutang peneroka tidak terus meningkat, terutamanya berkaitan hutang ladang.

Ujarnya, antara usaha-usaha yang dilaksanakan adalah pengurangan tempoh pengurusan program pembangunan tanam semula ladang iaitu pemberian pinjaman sara hidup disingkatkan dari lapan tahun kepada empat tahun.

"Selain itu, Felda telah melaksanakan program tanam semula dengan menggunakan baka sawit terbaru yang mempunyai kadar pengeluaran hasil yang lebih tinggi sehingga 16 tan sehektar pada bulan ke-48.

"Dengan usaha tersebut, pendapatan peneroka dapat ditingkatkan dalam masa yang lebih singkat disebabkan mereka mula dibayar hasil atau pendapatan sebenar ladang bermula pada tahun ke-5," katanya.

Pada pentadbiran terdahulu pada Julai 2021 telah meluluskan penghapusan hutang Peneroka Felda keseluruhannya bernilai RM8 bilion.

Ini termasuk pinjaman untuk latihan penanaman semula (92,441 peneroka), baja (52,180 peneroka), saham FGV Holdings Bhd (38,043 peneroka), dan modal pembangunan (6,711 peneroka).

Muhyiddin dilaporkan berkata, pelupusan itu mengurangkan beban pinjaman kepada peneroka sebanyak 80 peratus.