Padah main mercun, dua penagih dadah ditahan

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KOTA BHARU - Tiga lelaki termasuk dua penagih dadah ditahan dalam tiga serbuan berasingan di Felda Kemahang 3 Tanah Merah pada Selasa selepas disyaki meletupkan bahan mercun buatan sendiri.

Serbuan dilakukan antara jam 4 petang hingga 10.45 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah dibantu anggota Balai Polis Batang Merbau dan Balai Polis Lalang Pepuyu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd Haki Hasbullah berkata, ketika serbuan pertama polis terpaksa bergelut beberapa minit berikutan percubaan suspek melarikan diri.

Menurut beliau, pemeriksaan di dalam beg pada tubuh suspek menemui satu tiub straw lut sinar berisi 12 biji pil disyaki dadah jenis yaba.

"Susulan itu, polis terus ke rumah suspek kedua dan pemeriksaan menemui satu peket mercun bola, dua peket lut sinar yang di dalamnya masing-masing mengandungi sumbu mercun dan serbuk belerang," katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, pemeriksaan ke atas rumah suspek ketiga pula menemui satu guni yang mengandungi tiga peket mercun bola.

Sebelum penahanan kesemua suspek, polis menerima laporan daripada orang awam berkaitan bunyi letupan dipercayai mercun.

"Laporan dibuat pada Jumaat kira-kira jam 3.16 pagi daripada pengadu yang juga peneroka generasi kedua di Felda Kemahang 3, Tanah Merah.

"Pengadu memaklumkan terdengar bunyi lebih dua individu berjalan di luar rumah sebelum dikejutkan dengan dua letupan kuat di hadapan rumah," katanya.

Jelas beliau, siasatan di tempat kejadian menemui serpihan besi yang disyaki komponen bahan letupan buatan sendiri.

Mohd Haki memberitahu, hasil soal siasat, ketiga-tiga suspek berusia antara 19 hingga 41 tahun itu mengaku terlibat dengan kejadian membaling mercun dan kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya, ujian saringan awal urin mendapati dua daripada suspek positif dadah dan mempunyai dua rekod.

"Kesemua suspek direman selama empat hari bermula Rabu," katanya.