MBK amal pendekatan toleransi sifar terhadap salah laku rasuah

Hamdan (tiga dari kiri) menyerahkan ikrar bebas rasuah yang ditandatangani kepada Ab Muneim (tiga dari kanan) pada Majlis
Menandatangani IBR Bersama Rakan Niaga di dewan Kompleks MBK pada Khamis.
Hamdan (tiga dari kiri) menyerahkan ikrar bebas rasuah yang ditandatangani kepada Ab Muneim (tiga dari kanan) pada Majlis Menandatangani IBR Bersama Rakan Niaga di dewan Kompleks MBK pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) sentiasa mengamalkan pendekatan toleransi sifar terhadap semua bentuk salah laku rasuah dalam kalangan warga dan rakan niaganya.

Datuk Bandar Kuantan, Datuk Hamdan Husin berkata, tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang didapati terlibat dengan amalan itu termasuk melaporkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan dan tindakan.

Menurutnya, MBK melalui Seksyen Integritinya sentiasa memantau secara serius dan rapat isu-isu berkaitan salah laku serta disiplin termasuk gejala rasuah.

"Kami akui terdapat satu dua kes rasuah melibatkan kakitangan MBK dan tindakan telah diambil ke atas mereka.

"Walaupun hanya kes terpencil namun ia boleh mencemarkan imej MBK dan kira-kira 1,200 kakitangan yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Bersama Rakan Niaga di dewan Kompleks MBK pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Ab Muneim Ibrahim.

Dalam pada itu, Hamdan berkata, ingatan serius sentiasa diberikan kepada rakan niaga agar mematuhi kod etika yang menjadi garis panduan prinsip dan tingkah laku ditetapkan.

"Prinsip kod etika itu selaras dengan visi dan misi MBK dalam menegakkan piawaian tinggi tadbir urus bagi meningkatkan ketelusan, akauntabiliti, nilai integriti serta kemampanan membasmi rasuah.

"Pihak majlis juga ke arah Pensijilan MS ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah sebagai satu kawalan dalaman yang berfungsi untuk mengesan, mencegah, mengendali, menguatkuasa, menilai serta menambah baik pengurusan anti rasuah secara lebih berkesan," ujarnya.

Hamdan (barisan hadapan, sembilan dari kiri) bergambar bersama warga MBK dan rakan niaga yang menyertai Majlis
Menandatangani IBR Bersama Rakan Niaga di dewan Kompleks MBK pada Khamis.
Hamdan (barisan hadapan, sembilan dari kiri) bergambar bersama warga MBK dan rakan niaga yang menyertai Majlis Menandatangani IBR Bersama Rakan Niaga di dewan Kompleks MBK pada Khamis.

Tambah beliau IBR yang diadakan sempena ulang tahun kedua MBK sebagai simbolik untuk meningkatkan kesedaran bersama dalam memerangi rasuah.

"Terdapat 964 rakan niaga yang berdaftar dengan MBK terdiri daripada 415 kontraktor, pembekal (508), perunding (31) dan pemaju (11).

"Seramai 550 rakan niaga termasuk pengurusan MBK terlibat pada IBR kali ini," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, prosedur dan garis panduan yang ditetapkan MBK dalam permohonan dan kelulusan lesen atau sebagainya mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Pemohon hanya perlu ikut proses yang sepatutnya tanpa perlu melibatkan unsur rasuah sebagai jalan mudah.

"Malah kita juga minta rakan niaga melaporkan jika wujud amalan itu dalam proses tersebut yang melibatkan kakitangan MBK sendiri," ujarnya.