[VIDEO] Op Tropicana: Ahli sindiket kerap buat 'u-turn'

Khairul Dzaimee (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar Ops Tropicana di ibu pejabat SPRM pada Khamis.
Khairul Dzaimee (tiga dari kiri) ketika sidang akhbar Ops Tropicana di ibu pejabat SPRM pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Aktiviti 'u-turn' iaitu keluar masuk ke negara ini dengan kerap oleh kumpulan yang dipercayai sindiket penipuan pelaburan didalangi warga United Kingdom (UK) membongkarkan rahsia jenayah tersebut.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, aktiviti 'u-turn' itu dikesan pihaknya pada November tahun lalu.

"Kebiasaannya aktiviti 'u-turn' ini melibatkan wanita asing, namun apabila siasatan dijalankan mereka (sindiket) melakukan perjalanan keluar masuk yang kerap melalui pas sosial dan tinggal sehingga tempoh maksima," katanya menerusi sidang akhbar Ops Tropicana di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini.

Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Menurut Khairul Dzaimee, susulan itu aktiviti dalang tersebut dikongsikan oleh pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA Terminal 1) kepada Bahagian Risikan dan Operasi Khas.

"Selepas mengesan pergerakan mereka, kita tubuhkan pasukan khas dengan SPRM," katanya.

Beliau berkata, seramai 30 individu ditahan dalam operasi tersebut yang mana 27 daripadanya adalah warga asing.

"Daripada jumlah yang ditahan, tujuh diletakkan di bawah akta SPRM," katanya.

Khairul Dzaimee berkata, baki 23 orang lagi di reman di bawah Akta Imigresen atas pelbagai kesalahan iaitu menyalahgunakan pas lawatan sosial dan tidak mempunyai dokumen perjalanan.

"Kesemua mereka ini akan dikategorikan sebagai imigran larangan yang mana akan dilarang memasuki negara ini sepanjang hayat," katanya.

Pada Selasa, SPRM dengan kerjasama Imigresen, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri membongkarkan kegiatan itu dalam satu serbuan di ibu negara dan Pulau Pinang.

Mereka yang disyaki sebagai scammer itu dipercayai memperoleh kira-kira AUD60 juta (kira-kira RM200 juta) hasil menipu mangsa terlibat sejak 2019 sehingga sekarang.

Kumpulan itu turut dikatakan menyogok pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan ahli dan memudahkan urusan sindiket menjalankan operasi di 'boiler room' (pusat panggilan) mereka di negara ini.