Kumpulan didakwa sindiket penipuan pelaburan direman

Kumpulan yang dipercayai sindiket penipuan pelaburan didalangi warga UK tiba di Istana Kehakiman pada petang Rabu. - Foto Rizal Rozy
Kumpulan yang dipercayai sindiket penipuan pelaburan didalangi warga UK tiba di Istana Kehakiman pada petang Rabu. - Foto Rizal Rozy
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Seramai 10 individu yang dipercayai sindiket penipuan pelaburan didalangi warga United Kingdom (UK) direman enam hari.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Putrajaya, Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu.

Tempoh tahanan reman itu berakhir pada 27 Februari depan.

Kumpulan itu yang terdiri daripada lima warga Britain, Filipina (dua) dan Malaysia (tiga) tiba pada jam 2.23 petang di Mahkamah Majistret Putrajaya dengan iringan Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan bergari.

Kesemua mereka yang berumur lingkungan 39 hingga 59 tahun itu ditahan dalam serbuan Op Tropicana yang dijalankan SPRM dengan kerjasama imigresen, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyber Security Malaysia, Telekom Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Operasi itu dijalankan serentak di sekitar ibu negara dan Pulau Pinang pada Selasa.

Mereka yang disyaki sebagai scammer itu dipercayai memperoleh kira-kira AUD60 juta (kira-kira RM200 juta) hasil menipu mangsa terlibat sejak 2019 sehingga sekarang.

Kumpulan itu turut dikatakan menyogok pihak berkuasa untuk menjaga keselamatan ahli dan memudahkan urusan sindiket menjalankan operasi di 'boiler room' (pusat panggilan) mereka di negara ini.