Gigih berlatih biarpun kekurangan kelengkapan

Senin( kiri) bersama Muhammad Amar (tengah) bersama ibunya, Fuziah tidak menyangka anak mereka itu terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan Futsal di Iran April depan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Selamat pada Rabu.
Senin( kiri) bersama Muhammad Amar (tengah) bersama ibunya, Fuziah tidak menyangka anak mereka itu terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan Futsal di Iran April depan ketika ditemui di rumahnya di Kampung Selamat pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Seorang remaja orang kurang upaya (OKU) tetap gigih dan fokus untuk berlatih biarpun berdepan kekangan terutamanya kelengkapan menjelang persediaan Asia-Pacific (AP) Deaf Futsal Tournament 2023 di Tehran, Iran.

Atlet OKU Negara, Muhammad Amar Senin, 17, dari Kampung Selamat di sini mengharumkan nama Pahang selepas terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan 4th AP Deaf Futsal Championships yang dijadualkan berlangsung pada 24 April hingga 10 Mei depan.

Dia yang mengalami masalah pendengaran dan pertuturan mengakui hanya memiliki sepasang kasut yang digunakan untuk berlatih pada ketika ini.

"Kasut selalu rosak, bila ada perlawanan lagi kritikal, jadi saya perlu ada sepasang kasut tambahan sebagai persediaan, bimbang jika berlaku kerosakan pada kasut.

"Beberapa kelengkapan lain seperti seluar sudah ada yang koyak, selain peralatan berlatih masih belum mencukupi.

"Saya akui perlukan sumbangan untuk memastikan kelengkapan mencukupi sebelum bermula latihan menjelang pertandingan yang dijadualkan April ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Selamat di sini pada Rabu.

Temubual itu dibantu di juru bahasa isyarat iaitu Penyelaras Pendidikan Khas, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Akar, Umithayyibah Ramly.

Sebelum ini, Muhammad Amar pernah menyertai 1st DIFA Deaf Futsal World Cup U21 Malaysia 2022 di Shah Alam dan 1st Sea Deaf Games Kuala Lumpur Malaysia dan berjaya menjaringkan 20 gol di dalam temasya itu.

Bakat dicungkil pada tahun lalu apabila menyertai uji bakat mencari pemain bagi 1st Sea Deaf Games 2022 dan anak kepada pasangan OKU Senin Awang, 68 dan Fuziah Ali, 52, terpilih mewakili Malaysia.

Pada ketika itu, seramai 30 atlet futsal lelaki seluruh negara hadir pada sesi pemilihan yang dikendalikan oleh pegawai pemilihan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Mohd Yusri Abdul Ghani bersama Jurulatih Futsal Pekak Negara, Ali Che Ahmad.

Pelajar SMK Alor Akar ini merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan mempunyai bakat besar di dalam sukan futsal sebelum menyertainya secara serius pada 2022.

Muhammad Amar mengakui minat dalam sukan ini sejak usia tujuh tahun, menyebabkan dirinya bersungguh-sungguh berlatih bagi memastikan teknik serta taktikal dapat dipertingkatkan.

Menurutnya, bagi tujuan itu, empat jam diperuntukkan setiap hari dengan bermain futsal bersama adiknya dan komuniti setempat.

Muhammad Amar menunjukkan baju yang akan dipakai setiap kali pertandingan futsal diadakan ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Selamat pada Rabu.
Muhammad Amar menunjukkan baju yang akan dipakai setiap kali pertandingan futsal diadakan ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di Kampung Selamat pada Rabu.

"Saya peruntukan dua jam latihan pada waktu pagi dan dua jam lagi pada sebelah petang bagi mengasah skil dalam sukan ini. Latihan ini perlu dilakukan setiap hari bagi memastikan stamina saya dalam keadaan baik," katanya.

Selain aktif dalam sukan futsal, Muhammad Amar turut mewakili SMK Alor Akar dalam Kejohanan Olahraga dan Padang Pendidikan Khas di peringkat negeri dan kebangsaan.

Menurutnya, pada tahun 2022, satu pingat emas dimenangi dalam acara lempar cakera, lompat jauh pula pingat perak dan gangsa bagi acara larian 4x100 meter.

"Kemenangan ini saya perolehi dalam kejohanan olah raga dan padang pendidikan khas di peringkat Kebangsaan, malah beberapa acara sama turut dimenangi saya di peringkat MSSD (Majlis Sukan Sekolah Daerah)," ujarnya.

Sementara itu, ibunya, Fuziah tidak menyangka anaknya Muhammad Amar terpilih mewakili Malaysia dalam pertandingan Futsal di Iran.

Ujarnya, kesungguhan anaknya berlatih selama ini ternyata berbaloi, sekali gus berbangga dengan pengorbanan Muhammad Amar dalam bidang sukan Futsal.

"Amar (Muhammad Amar) anak bertuah, walaupun dia istimewa seperti saya dan ayahnya (suami), tapi Amar mampu cipta nama sebagai atlet walaupun dia seorang OKU.

"Saya sentiasa berdoa Amar berjaya dalam setiap bidang yang ceburi dan membawa pingat emas dalam pertandingan itu nanti," katanya yang juga OKU pendengaran dan pertuturan.

Ditanya mengenai persiapan Muhammad Amar, Fuziah memaklumkan Kerajaan Pahang ada memberi sedikit bantuan bagi membolehkan anaknya itu membuat persiapan awal sebelum pertandingan terbabit.

Namun, dia akui masih bimbang sumber kewangan yang tidak mencukupi sekali gus memberi tekanan kepada Muhammad Amar untuk beraksi ketika latihan dan pertandingan itu nanti.

"Amar akan menjalani latihan di Perak selama sebulan, selepas itu baru dia ke Tehran, Iran untuk pertandingan.

"Jadi, saya harap orang ramai boleh membantu memudahkan urusan Amar ke pertandingan itu," jelasnya.

Kedua ibu bapa Muhammad Amar merupakan penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang.

Bagi yang ingin memberikan sumbangan boleh salurkan di 0610 0290 0033 7959 (BSN) atas nama Fauziah Ali.