Rokok seludup: Tumpu penguatkuasaan penyeludupan, kecurian IP

Sebahagian rokok seludup yang berjaya dirampas pihak polis dalam dua serbuan berasingan di sekitar Ampang baru-baru ini. - Foto PDRM
Sebahagian rokok seludup yang berjaya dirampas pihak polis dalam dua serbuan berasingan di sekitar Ampang baru-baru ini. - Foto PDRM
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa menumpukan penguatkuasaan undang-undang sedia ada terhadap penyeludupan dan kecurian harta intelek (IP) jenama terlarang utama bagi mengurangkan atau menghapuskan perdagangan rokok seludup secara berkesan.

Pengarah Urusan Advokasi Runcit dan Jenama Dagangan Malaysia (RTBA Malaysia), Datuk Fazli Nordin berkata, kerjasama antara kementerian kerajaan, pemain industri dan organisasi antarabangsa dipercayai dapat membantu membasmi masalah perdagangan rokok seludup dan berbilion-bilion yang dicuri oleh sindiket haram setiap tahun.

“Kebanyakan rokok haram tidak mempunyai setem cukai Malaysia atau menampal setem cukai palsu pada bungkusannya.

“Rokok yang diimport secara haram ini menyebabkan Malaysia rugi berbilion-bilion daripada segi cukai yang tidak dibayar setiap tahun dan duit itu diguna bagi membiayai unsur jenayah di negara ini.

"Sesetengah daripada jenama ini mungkin mempunyai produk yang sah di pasaran tetapi menjadi mangsa kepada kecurian IP apabila penjenayah meniru penjenamaan mereka,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam pada itu, Fazli berkata, laporan 'Illicit Cigarettes Study (ICS)' in Malaysia oleh Nielsen Inc mendedahkan insiden rokok seludup di peringkat nasional ialah 56.6 peratus pada tahun 2022.

Menurutnya, laporan tersebut turut mendedahkan tiga jenama rokok seludup utama iaitu John mewakili 15.4 peratus rokok seludup di Malaysia dan mengungguli tempat pertama carta di Semenanjung Malaysia.

“Pada masa yang sama, Era dan Canyon, masing-masingnya di tahap 7.7 peratus dan 5.2 peratus.

“Menariknya, Perdana Menteri turut meminta agar agensi kerajaan bekerjasama dengan Global Operational Network of Anti-Corruption Law Enforcement Authority, atau Globe Network yang merupakan platform di bawah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC).

“Kami percaya bahawa kerjasama antara kementerian kerajaan, pemain industri dan organisasi antarabangsa akan membantu membasmi masalah perdagangan rokok seludup dan berbilion-bilion yang dicuri oleh sindiket haram setiap tahun agar kembali ke dalam tabung dana negara,” ujarnya.