'Saya tak pernah arah keluarkan RM1 juta' - Syed Saddiq

Syed Saddiq (kiri). - Gambar fail
Syed Saddiq (kiri). - Gambar fail
A
A
A

KUALA LUMPUR – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan arahan untuk mengeluarkan RM1 juta daripada akaun rasmi Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tiga tahun lalu.

Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian ketika prosiding bela diri atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah wang RM1 juta, salah guna harta RM120,000 dan pengubahan wang haram (AMLA) RM100,000 di hadapan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid.

Syed Saddiq, 31, berkata, tiada arahan dibuat kepada bekas Penolong Bendahari Armada Bersatu, Rafiq Hakim Razali atau bekas Penolong Setiausaha Armada, Ahmad Redzuan Mohamed Shafi untuk mengeluarkan dana tersebut.

Bekas Menteri Belia dan Sukan turut menafikan, berlaku perbincangan secara berasingan dengan dua individu itu atau mengarahkan mereka untuk mengeluarkan wang sehingga jutaan ringgit.

“Dakwaan Rafiq Hakim (saksi pendakwaan ke-13) dan Ahmad Redzuan (saksi ke-11) merupakan suatu pembohongan semata-mata,” katanya.

Beliau berkata, pada awal Mac 2020, Pimpinan G5 dalam Armada berbincang untuk mengeluarkan wang bagi menghadapi wabak Covid-19, Ramadan dan Aidilfitri 2020.

Menurutnya, pimpinan itu hanya membincangkan keterdesakan untuk memberikan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat wabak dan sambutan perayaan berkenaan.

Ekoran itu, beliau berkata, Pimpinan G5 telah mengarahkan Rafiq Hakim untuk berunding dengan Exco Armada bagi mendapatkan jumlah yang dirasakan sesuai untuk bantuan tersebut, namun jumlah RM1 juta tidak langsung dibincangkan.

“Saya juga tidak pernah cakap wang atau dana dalam akaun CIMB Bank Armada merupakan hasil daripada titik peluh saya sepanjang menjadi Ketua Armada.

“Saya percaya bahawa dana yang telah terkumpul tersebut adalah milik semua ahli bagi kegunaan parti,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Perbicaraan bersambung jam 2.30 petang ini.