Kegiatan seleweng diesel di lombong pasir terbongkar

Sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di kawasan perlombongan pasir di Chenderiang, Tapah pada Selasa
Sepasukan anggota penguat kuasa KPDN Perak berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel bersubsidi di kawasan perlombongan pasir di Chenderiang, Tapah pada Selasa
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya membongkarkan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi di kawasan perlombongan pasir di Chenderiang, Tapah pada Selasa.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, kejayaan tersebut hasil serbuan sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDN Perak di sebuah premis di kawasan tersebut pada jam 4.30 petang.

Katanya, serbuan itu hasil maklumat risikan yang dilakukan oleh anggota penguat kuasanya selama seminggu berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan itu di stesen minyak sekitar Chenderiang, Tapah dan Kampar.

"Hasil risikan tersebut telah berjaya menemukan satu lokasi pengumpulan minyak yang disyaki diesel di kawasan perlombongan pasir.

"Pemeriksaan lanjut juga telah menjumpai sebanyak sembilan tong dram berisi minyak disyaki diesel dengan anggaran sebanyak 1,800 liter berada di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kamalludin berkata, siasatan mendapati minyak diesel di dalam tong dram berkapasiti 200 liter itu digunakan sebagai bahan api jentera untuk aktiviti perlombongan pasir di kawasan terbabit.

Katanya, minyak diesel itu disyaki diperolehi daripada aktiviti pembelian minyak diesel bersubsidi menggunakan lori melalui tangki asal di stesen minyak yang berdekatan secara berulang sebelum dipindahkan ke tong dram untuk dikumpulkan dan digunakan oleh jentera bagi industri perlombongan pasir.

"Hasil siasatan lanjut juga mendapati premis ini telah beroperasi tanpa sebarang lesen atau kebenaran untuk menyimpan barang kawalan minyak diesel.

"Susulan itu juga, seorang wanita berusia 40 tahun disyaki pemilik syarikat yang berada di tempat kejadian diambil keterangan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Menurutnya, kesemua minyak diesel terbabit yang bernilai RM4,820 turut di sita untuk siasatan lanjut.