Kabinet bincang isu Matrikulasi Rabu ini

A
A

PUTRAJAYA - Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik akan membawa isu Program Matrikulasi ke mesyuarat kabinet pada Rabu ini bagi mendapatkan keputusan sewajarnya.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin dalam kenyataan hari ini berkata Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian serius terhadap pelbagai isu berbangkit mengenai kemasukan ke program itu.

"Mengambil kira pandangan semua pihak, KPM akan memastikan isu ini ditangani dengan cermat bagi mendapatkan jalan penyelesaian terbaik melalui saluran yang tepat," katanya.

Menurut Amin berdasarkan keperluan, KPM kekal dengan dasar asal iaitu 90 peratus tempat untuk pelajar bumiputera dan 10 peratus bagi bukan bumiputera di bawah program itu.

"Tahun ini, penambahbaikan telah dibuat iaitu di samping mengekalkan dasar 90:10, pengambilan memberikan peluang tempat kepada 60 peratus pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40)," katanya. Oleh itu, Amin berkata KPM telah melihat semula semua cadangan termasuk cadangan penambahan kuota kaum bukan bumiputera yang perlu selaras dengan dasar asal 90:10.

Tambahnya hanya terdapat 25,000 pengambilan setiap tahun, jadi dasar semasa adalah 22,500 untuk pelajar bumiputera dan 2,500 untuk bukan bumiputera.

"Program ini diwujudkan asalnya adalah untuk bumiputera sahaja," katanya. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia