PM adakan mesyuarat tertinggi bincang isu air di Sabah

Anwar (tiga, kanan) turut menyanyikan lagu Tadau Kaamatan pada majlis penutupan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) Penampang pada Rabu. - Foto: Bernama
Anwar (tiga, kanan) turut menyanyikan lagu Tadau Kaamatan pada majlis penutupan sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah di Dewan Hongkod Koisaan Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) Penampang pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

PENAMPANG - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan mesyuarat tertinggi pada Khamis untuk menyelesaikan isu air bersama kerajaan Sabah.

Menurutnya, kehadiran beliau yang kerap ke Sabah adalah bertujuan untuk memenuhi tanggungjawabnya kepada rakyat Sabah.

"Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyebut kepada saya, sementara kerajaan di bawah pimpinan beliau kuat dan padu, beliau menyatakan ada masalah-masalah patut diselesaikan dengan baik tidak cukup dengan kekuatan negeri tetapi harus padu dengan kerajaan Persekutuan.

"Antara isu besar adalah isu air dan jalan-jalan (jalan raya), maka saya telah beri keputusan esok pagi Insya-ALLAH saya akan adakan mesyuarat tertinggi antara kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menyelesaikan masalah air bersama dengan kerajaan negeri," katanya ketika berucap sempena Majlis Perasmian Penutupan Pesta Kaamatan Peringkat Sabah di Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) pada Rabu.

Beliau dalam pada itu juga turut mengambil pandangan daripada menteri, ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini bahawa perlu untuk menggunakan laluan jalan raya di kawasan pedalaman di Sabah.

"Ramai menteri-menteri, ahli-ahli Parlimen, ADUN mengatakan Anwar patut jalan juga ke kawasan pedalaman, baru tahu tayarnya ditukar selalu kerana jalannya teruk.

"Maka baru-baru ini, semua sudah tahu peruntukan untuk perbaiki ditingkatkan dan peruntukan tertinggi untuk membaiki jalan-jalan di Sabah ini adalah untuk negeri Sabah.

"Kita telah minta tindakan segera projek Pan Borneo yang perlu diselesaikan, begitu juga jalan-jalan yang rosak kita sudah ambil maklum untuk tindakan segera dan saya percaya rakan kerajaan negeri.

"Sebahagiannya kita serahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri dan ikut peraturan biasa kewangan. Saya ingin memberi jaminan bahawa ini Kerajaan Perpaduan yang serius dan kita bertekad untuk menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera," ujarnya.

Sebelum itu, dalam ucapannya, beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk aktiviti kebudayaan di KDCA.

"Saya terharu mendengar ucapan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bahawa ini kali pertama Perdana Menteri hadir dalam majlis rasmi ini dan saya percaya ini bukan yang terakhir dan minggu depan saya akan ke Pesta Gawai di Sarawak.

"Saya ingin berikan jaminan bahawa kita akan sediakan, beri bantuan untuk KDCA walaupun Tan Sri Joseph Pairin tidak minta, saya luluskan RM1 juta untuk kegiatan tahun ini," katanya.

Sementara itu, majlis perasmian penutupan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan turut dihadiri oleh Hajiji bersama isteri, Datin Seri Julia Salag, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Pesta Kaamatan Negeri Sabah.