Minum air kosong, tidak makan punca Orang Asli kurang nutrisi

Dr Divya (lima dari kiri) bersama pelajar USM dan masyarakat Orang Asli pada Program Kesedaran Pemakanan Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Kuala Lah, Meranto, Gua Musang.
Dr Divya (lima dari kiri) bersama pelajar USM dan masyarakat Orang Asli pada Program Kesedaran Pemakanan Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Kuala Lah, Meranto, Gua Musang.
A
A
A

GUA MUSANG - Universiti Sains Malaysia (USM) melalui Program Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan mendedahkan kekurangan nutrisi dalam kalangan masyarakat Orang Asli di negeri ini disebabkan oleh pengambilan air kosong semata-mata dan tidak makan sepanjang hari.

Pengerusinya, Dr Divya Vanoh berkata, amalan itu menyebabkan ramai dalam kalangan mereka berdepan masalah kekurangan berat badan kerana tidak cukup makan.

"Hasil kajian kami mendapati salah satu faktor ialah kerana tidak mempunyai pendapatan tetap atau langsung tidak bekerja.

"Pada masa sama, pengetahuan Orang Asli tentang pemakanan sihat berada di tahap lemah dan amat membimbangkan," katanya.

Sebelum itu beliau bersama 44 pelajar USM mengadakan Program Kesedaran Pemakanan Orang Asli di Sekolah Kebangsaan Kuala Lah, Meranto, di sini.

Menurut beliau, dari aspek nutrisi masih terdapat kekurangan iaitu mereka tidak mengikut saranan pemakanan sihat mengikut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun begitu pihaknya mendapati cara pemakanan Orang Asli telah berubah mengikut gaya pemakanan masyarakat tempatan sehingga mendedahkan mereka kepada obesiti, darah tinggi dan kencing manis.

Dr Divya memberitahu, hal ini kerana mereka gemar minum susu pekat manis dan makan mi segera disebabkan oleh harga yang murah.

"Disebabkan itu kami mengadakan program komuniti ini bertujuan mendidik dan memberikan kesedaran penjagaan pemakanan kepada golongan muda dan dewasa di komuniti Orang Asli," katanya.