Pemimpin Bersatu Segambut didakwa rasuah projek Jana Wibawa

Adam Radlan (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah Projek Jana Wibawa, dua tahun lalu.
Adam Radlan (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Selasa, bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah Projek Jana Wibawa, dua tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa, atas dua pertuduhan kes rasuah, dua tahun lalu.

Adam Radlan, 42, yang memakai suit berwarna biru gelap membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Suzana Hussain.

Mengikut pertuduhan pertama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat itu didakwa meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 peratus hingga tujuh peratus daripada nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Is sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima bagi projek di bawah Program Jana Wibawa daripada Kerajaan Malaysia.

Dia turut didakwa menerima suapan, RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu sebuah restoran di Dutamas dan CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku, di sini pada Mac dan 26 November 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM300,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM sebulan sekali selain pasport tertuduh perlu diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili ahli perniagaan ini, merayu agar kadar itu dikurangkan dengan alasan Adam Radlan telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang disiasat dan tidak pernah dituduh dalam kes jenayah lain.

“Anak guam saya merupakan seorang ahli perniagaan yang mempunyai empat anak yang berusia sembilan hingga 16 tahun,” katanya.

Selepas mendengar perkara itu, Suzana membenarkan tertuduh diikat jamin RM120,000 dengan dua penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 23 Mac untuk sebutan semula kes itu.