Kos pengambilan pekerja domestik Indonesia dikaji semula

SIVAKUMAR
SIVAKUMAR
A
A
A

JAKARTA - [DIKEMAS KINI] Malaysia dan Indonesia akan mengkaji semula kos pengambilan pekerja domestik Indonesia (PDI) dan menetapkan kadar yang lebih munasabah, kata Menteri Sumber Manusia V. Sivakumar.

Beliau berkata, pengurangan kos pengambilan PDI itu akan dibincang dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama Kali Ketiga yang berlangsung selama dua hari di Yogjakarta bermula Rabu.

"Pada masa ini, kita merasakan bahawa yuran (kos) yang terlibat dan ditanggung majikan agak tinggi berbanding negara lain yang menetapkan harga pada tahap minimum. Kita nak lihat sama ada kita boleh mencari jalan penyelesaian dan kalau jumlah itu dapat dikurangkan," katanya.

Sivakumar berharap kos dapat dikurangkan di bawah RM9,000 berbanding jumlah yang ditetapkan dalam mesyuarat terakhir pada November 2022 sebanyak RM12,000, termasuk kos kuarantin RM3,000.

"Kos sifar memang tak mungkin sebab memang ada kos termasuk di Malaysia tetapi kita perlu lihat apakah mekanisme terbaik untuk mengurangkan kos," katanya kepada media Malaysia selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Ketenagakerjaan Indonesia Dr Ida Fauziyah.

Sivakumar berada di sini sempena lawatan kerja sehari susulan kunjungan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Jan lepas.

Beliau dan Ida Fauziyah turut membincangkan usaha merealisasi pelaksanaan Memorandum Persefahaman Berhubung Pengambilan dan Perlindungan PDI di Malaysia yang dimeterai pada 1 April 2022 serta perlindungan dan kebajikan pekerja Indonesia di Malaysia.

Sivakumar berkata Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama juga dijangka membincangkan peranan Agensi Pekerjaan Swasta (APS) di kedua-dua negara dalam proses pengambilan dan penempatan PDI serta pendigitalan proses pengambilan PDI melalui Sistem Satu Saluran (OCS).

Beliau berkata Indonesia merupakan antara negara sumber utama bagi penggajian pekerja asing di Malaysia.

Setakat 22 Jan lepas, terdapat seramai 399,827 warga Indonesia bekerja di Malaysia dalam sektor perkilangan, pembinaan, perladangan, perkhidmatan, pertanian, pembantu rumah asing, perlombongan dan pengkuarian.

Daripada jumlah itu, seramai 63,323 bekerja sebagai pembantu rumah asing (PRA) dan warga Indonesia mewakili jumlah terbesar dalam sektor domestik di Malaysia.