Wajibkan bank bayar ganti rugi mangsa penipuan dalam talian

Chieng Jen
Chieng Jen
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen mencadangkan kerajaan mewajibkan bank membayar ganti rugi kepada mangsa penipuan ‘scam’ yang kehilangan duit dalam akaun.

Beliau berkata, bank tidak perlu membayar keseluruhan kerugian yang dialami mangsa namun sekurang-kurangnya sebahagian besar daripadanya, melainkan bank boleh membuktikan pemegang akaun adalah sebahagian daripada penipuan.

“Pada pendapat saya, hanya diwajibkan untuk (bank) membayar pampasan ke atas mangsa penipuan atas talian, (supaya) bank akan membelanjakan lebih banyak untuk menaik taraf keselamatan sistem e-perbankan dan memperkenalkan SOP (prosedur operasi standard) dan mekanisme lebih ketat untuk pemindahan tunai dalam talian,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam pada itu Chieng Jen (PH-Stampin) turut membuat perbandingan dengan kes penipuan pancingan data yang melibatkan pemegang akaun sebuah bank di Singapura.

Katanya, ramai pemegang akaun bank berkenaan telah menerima perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) yang memerlukan mereka menekan link yang disertakan bagi mengemaskini maklumat data.

“Sejumlah SD13.7 juta dicuri daripada 790 pemegang akaun, dan sebulan selepas itu OCBC Bank mengumumkan akan membayar 100 peratus kerugian kepada mangsa sebagai ‘goodwill payment’.

“Dalam tempoh dua bulan, polis Singapura berjaya tangkap 16 orang yang terlibat dengan scam itu dan lima bulan seterusnya, pihak berkuasa kewangan Singapura mengenakan ‘additional capital requirement’ (keperluan modal tambahan) sebanyak SD330 juta atas kelemahan sistem sekuritinya. Perkara itu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.

“Di Malaysia, pihak bank tidak sudi bayar apa-apa ganti rugi, polis tidak tangkap sesiapa di belakang sindiket itu, BNM (Bank Negara Malaysia) pula tidak peduli dan kerajaan masih nak bincang lagi. Maka penipuan dan kecurian duit atas talian masih berleluasa,” ujarnya.

Sementara itu beliau berkata, sejumlah RM2.97 bilion kerugian dilaporkan bagi tempoh 2017 hingga 2022 akibat penipuan atas talian, namun dalam masa yang sama keuntungan bersih bagi ‘Top 6’ bank di negara ini adalah RM125 bilion.

Justeru katanya, jika dibandingkan dengan jumlah kerugian ia belum mencapai tiga peratus keuntungan bersih bank terbabit.

“Kesimpulannya, industri perbankan mampu menampung kerugian, bagi mereka kerugian scam penipuan hanya sebahagian kecil daripada keuntungan.

"Tetapi bagi pemegang akaun, kerugian itu adalah simpanan seumur hidup. Jadi adalah wajar dan adil untuk bank diwajibkan menampung kerugian akibat scam atas talian.

“Saya percaya jika bank diwajibkan tampung kerugian itu, bank akan meningkatkan sistem sekuriti, mengetatkan syarat pembukaan akaun, SOP transaksi dalam talian sekali gus akan mengurangkan berlaku penipuan atas talian,” jelasnya.