Bangsawan H1001ASK SSeMKL serlah kreativiti pelajar

Teater muzikal bangsawan Hikayat Seribu Satu Malam Aladdin Sebuah Kisah pementasan SSeMKL yang berlangsung pada 13 hingga 16 Februari lalu.
Teater muzikal bangsawan Hikayat Seribu Satu Malam Aladdin Sebuah Kisah pementasan SSeMKL yang berlangsung pada 13 hingga 16 Februari lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Teater muzikal bangsawan Hikayat Seribu Satu Malam Aladdin Sebuah Kisah (H1001ASK) pementasan Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur (SSeMKL) menterjemahkan bakat dan kreativiti para pelajar.

Pementasan hampir tiga jam itu bermula pada 13 hingga 16 Februari lalu yang diadakan di auditorium SSeMKL, Kuala Lumpur, menggabungkan kreativiti pelajar-pelajar seni tari, visual, muzik dan teater.

Pengarah Produksi H1001ASK, Mohammad Fairul Rashid berkata, pemilihan karya pementasan tersebut untuk mengangkat keseluruhan nilai seni yang terdapat di sekolah terbabit.

“Saya melihat teater bangsawan yang boleh memenuhi kriteria segala aspek persembahan kerana merangkumi muzik, menari, berlakon, visual malah rekaan set.

“Alhamdulillah, lebih membanggakan apabila mereka berjaya menterjemahkan setiap latihan yang dilakukan dengan persembahan yang menarik sehingga mendapat tepukan gemuruh daripada penonton,” katanya ketika ditemui selepas pementasan H1001ASK di auditorium SSeMKL, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhamad Nasir Hamzah; Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU Entertaintment, Datuk Norman Abdul Halim; Pengarah Bahagian Inovasi, Jaringan Strategik dan Pemasaran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Ramlan Mohd Iman; Profesor Emeritus Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh; Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SSeMKL, Profesor Madya Dr Sahar Sa'di Hashim dan Pengetua SSeMKL, Suriyani Ab Ghani.

Mohammad Fairul yang merupakan Ketua Bidang Seni Teater SSeMKL memberitahu, pementasan tersebut melibatkan seramai 126 tenaga kerja merangkumi pelajar, guru dan jurulatih.

Begitupun, katanya, para guru dan jurulatih hanya memberi bimbingan tetapi ia dilaksanakan oleh pelajar-pelajar Tingkatan Satu hingga Empat kerana ingin menonjolkan kreativiti mereka.

“Bagi olahan skrip pula, saya mengambil masa kira-kira tiga bulan kerana melibatkan tiga latar berbeza yang saling berkaitan antara satu sama lain.

“Sesi latihan sangat singkat iaitu dua bulan sahaja berikutan terdapat beberapa kekangan terutama apabila pelajar-pelajar terlibat dalam pelbagai program seni termasuk Festival Mutiara Seni sekali gus mengehadkan masa latihan,” ujarnya.

Tambah beliau, pementasan berkenaan turut menggunakan teknologi skrin diod pemancar cahaya (LED) untuk memberi impak kepada persembahan malah ia merupakan hasil karya visual pelajar.

Sementara itu, Suriyani berkata, ibu bapa tertunggu-tunggu hasil produksi kreativiti pelajar-pelajar kerana selama dua tahun pementasan tidak dapat diadakan berikutan pandemik Covid-19.

“Pementasan berkenaan merupakan platform terbaik dalam menonjolkan kemenjadian pelajar-pelajar sejajar hasrat KPM merealisasikan murid ceria, guru bahagia, sekolah bitara dan negara sejahtera.

“SSeMKL akan terus menghasilkan teater bangsawan setiap tahun tetapi dengan pelbagai hikayat berunsur klasik untuk tontonan ibu bapa dan khalayak,” katanya.

Beliau menambah, pihak sekolah amat berterima kasih kerana Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memberi sokongan penuh terhadap penganjuran pementasan teater bangsawan itu.