Insiden mendapan tanah tak jejas projek Pan Borneo

Mohd Anuar Mohd Tahir
Mohd Anuar Mohd Tahir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Insiden mendapan tanah di sebahagian laluan projek Lebuhraya Pan Borneo yang dalam pembinaan pada Selasa lepas, tidak menjejaskan projek itu, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Mohd Anuar Mohd Tahir.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sudah mengambil tindakan proaktif bagi memastikan masalah sama tidak berulang dan mengganggu kelancaran projek yang dijangka siap pada tahun 2020.

"Pihak JKR Sarawak sudah buat pemeriksaan dan biasanya jika berlaku kes-kes seumpama itu jabatan akan jalankan siasatan serta menanganinya supaya tidak berulang,

"Kejadian ini tidak akan melambatkan proses pembinaan projek kerana seperti projek lain bagi kes sebegini kita akan atasinya segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan persimpangan bertingkat Pantai Sentral dekat Lebuhraya Baru Pantai (NPE), hari ini.

Turut hadir, Anggota Parlimen Lembah Pantai Ahmad Fahmi Mohammed Fadzil, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Sr Aziz Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Amona dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan IJM Corporation Berhad, Datuk Soam Heng Choon.

Baharu-baharu ini, media melaporkan kejadian berlaku kira-kira 4.45 petang Isnin itu menyebabkan sebahagian laluan di Kilometer 48 Jalan Bintulu-Tatau mengalami kerosakan teruk, selain menjejaskan aliran trafik di kawasan berkenaan.

Sementara itu, mengulas mengenai pembukaan persimpangan baharu yang menghubungkan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dan kawasan Lembah Pandai itu, Mohd Anuar yakin laluan itu dapat mengurangkan masalah kesesakan trafik.

"Laluan baharu ini memberi faedah secara langsung kepada pengguna dari arah Pantai Dalam dan Kerinchi untuk ke NPE tanpa perlu melalui persimpangan lampu isyarat di Jalan Bukit Angkasa, Jalan Kerinchi, Jalan Pantai Murni dan Jalan Pantai Permai 1.

Artikel Berkaitan:

"Kebiasaannya pengguna yang melalui jalan di sini terpaksa ambil masa hampir 50 minit pada waktu puncak, kini masa perjalanan dapat dikurangkan kepada kira-kira 30 minit," katanya semasa berucap,

Projek yang menelan kos RM98 juta itu, menyediakan laluan sepanjang 2.8 kilometer membabitkan tiga tanjakan sebagai pintu keluar masuk tambahan bagi pengguna lebuh raya dan kawasan sekitar. - Bernama