Penduduk resah, tidak tahu projek ECRL di kawasan mereka

Andansura (kanan) adakan pertemuan bersama penduduk Chendor pada Selasa bagi dapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan tanah mereka akan diambil untuk projek ECRL.
Andansura (kanan) adakan pertemuan bersama penduduk Chendor pada Selasa bagi dapatkan maklumat lanjut berhubung dakwaan tanah mereka akan diambil untuk projek ECRL.
A
A
A

KUANTAN - Dakwaan sekumpulan penduduk di Chendor bahawa tanah mereka akan diambil untuk Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan dirujuk kepada pihak berkaitan bagi mendapatkan pengesahan dan penjelasan lanjut.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, penduduk terlibat mendakwa mereka didatangi wakil dua syarikat menawarkan khidmat sebagai perunding dalam urusan pengambilan tanah tersebut.

Menurutnya, lebih 20 keluarga dikatakan terlibat dalam pengambilan tanah itu.

"Perkara ini telah menimbulkan keresahan penduduk kerana mereka tidak mendapat sebarang makluman atau notis daripada mana-mana pihak berkuasa berhubung perkara tersebut.

"Persoalan juga timbul bagaimana dua syarikat perunding tersebut boleh mendapat maklumat lebih awal termasuk senarai nama, warta pengambilan dan pelan tapak tanah terlibat," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Andansura sebelum itu hadir ke sesi pertemuan diatur penduduk terlibat bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara tersebut pada Selasa.

Beliau berkata, perkara itu menimbulkan banyak tanda tanya kerana selain penduduk, pemimpin setempat juga tidak mempunyai sebarang maklumat berhubung proses pengambilan tanah di kawasan itu.

"Insya-ALLAH saya akan membuat tindakan susulan dengan pihak-pihak berkaitan bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan pengesahan.

"Sekiranya benar tanah-tanah itu akan diambil, caranya dilihat tidak kena kerana tiada usaha daripada pihak berkaitan untuk datang berjumpa dan berbincang dengan penduduk terlibat," katanya.

Tambah beliau, kepentingan penduduk dan pemilik tanah perlu diberi perhatian sewajarnya sebelum proses pengambilan tanah itu diteruskan.