'Kita amal budaya politik muafakat bukan konfrontasi'

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Ti Lian Ker (gambar kanan).
Laporan Sinar Harian pada Ahad. Ti Lian Ker (gambar kanan).
A
A
A

SHAH ALAM – Keganasan dan paparan mengenai keganasan adalah suatu yang dilarang terutamanya melibatkan rakyat Malaysia.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata demikian bagi mengulas isu klip video yang dipercayai memaparkan tindakan anggota Pemuda Pas Terengganu berarak dengan memegang pedang dan lembing serta memakai perisai.

Beliau turut menegaskan bahawa nilai-nilai budaya rakyat Malaysia adalah bersifat toleransi dan aman.

“Kita amal budaya toleransi, keamanan dan keharmonian.

“Budaya politik kita membina muafakat dan bukan konfrontasi atau menggunakan sikap suka berperang.

"Perkara ini harus dihentikan,” katanya kepada Sinar Daily pada Ahad.

Difahamkan, perarakan itu berlangsung pada Jumaat di Setiu, Terengganu sempena perhimpunan dua hari Pemuda Pas yang dikenali sebagai Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit).

Lian Ker turut menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat kejadian tersebut.

“Mereka yang bertanggungjawab perlu dihentikan.

“Anggapan advokasi keganasan dalam politik Malaysia ini mesti dipadamkan," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut meminta pemimpin politik untuk bertanggungjawab selain tidak menganjurkan keganasan dalam apa jua bentuk terutama dalam negara berbilang budaya, etnik dan agama di negara ini.

Beliau berkata, jangan ada lagi cubaan untuk menunjukkan kekerasan, apatah lagi mempamerkan perbuatan sedemikian.

Sementara itu, Sinar Daily sedang menghubungi Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa untuk mendapatkan komen berhubung kejadian terbabit.