Lima mangsa penipuan pekerjaan di Thailand dibawa pulang

Abd Jalil (dua dari kanan) bersama lima warganegara Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Thailand selamat tiba di KLIA pada Ahad.
Abd Jalil (dua dari kanan) bersama lima warganegara Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Thailand selamat tiba di KLIA pada Ahad.
A
A
A

SEPANG - Lima daripada 19 orang warganegara Malaysia yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan di Thailand berjaya dibawa pulang dengan selamat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, lima mangsa penipuan yang berjaya dibawa pulang berusia 20-an hingga 40-an.

Menurutnya, kejayaan membawa balik mangsa adalah hasil usaha daripada lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Dalam Negeri serta Menteri Luar Negeri ke Thailand pada 9 Februari lalu.

Beliau berkata, lawatan Perdana Menteri tersebut membincangkan isu-isu berkaitan jenayah penipuan kerja melibatkan warganegara Malaysia di Thailand seterusnya mencari titik penyelesaian bagi membanteras dan mencegah jenayah seumpama itu.

"Matlamat lawatan adalah merunding dan memohon pihak berkuasa Thailand mengesan serta menyelamat mangsa-mangsa yang masih terkandas di Thailand.

"Lawatan Perdana Menteri juga memohon pihak berkuasa Thailand mempercepatkan proses penghantaran pulang mangsa yang telah berjaya diselamatkan.

"Hasilnya kita berjaya membawa pulang lima daripada 19 mangsa penipuan pekerjaan di Thailand dengan selamat," katanya dalam sidang akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) setelah tiba bersama mangsa dari Thailand.

Hadir sama Setiausaha Bahagian Konsulat Kementerian Luar Negeri, Datuk Mohammad Ali Selamat.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata, pihak polis memohon kerjasama daripada semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tambahnya, maklumat terkini daripada NGO perlu diselaraskan untuk memudahkan pihak PDRM berkongsi dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan 14 lagi mangsa dengan kadar segera.

"Perkara ini penting bagi memastikan tidak berlaku pertindihan maklumat tidak sahih daripada pihak NGO. Sekiranya berlaku, ia akan menimbulkan kesulitan dan mengganggu proses pencarian," ujarnya.

Menurutnya, Wisma Putra juga akan terus berkoordinasi dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan mangsa-mangsa yang masih terperangkap dan disembunyikan.

"Berdasarkan maklumat terkini yang PDRM terima, 19 yang masih gagal diselamatkan berada di Thailand atau sempadan negara jiran itu dengan Myanmar.

"Malah hasil tangkapan terhadap dua sindiket pekerjaan sah di Malaysia pada bulan lepas telah banyak membantu PDRM berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa Thailand," katanya.