Lantikan ketua kampung dijangka selesai Mei ini

Zahari (tujuh dari kanan) bergambar sempena Majlis Amanat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi Bersama Ketua Kampung pada Ahad.
Zahari (tujuh dari kanan) bergambar sempena Majlis Amanat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi Bersama Ketua Kampung pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor bakal menyelesaikan isu pelantikan ketua-ketua kampung selewat-lewatnya Mei depan.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip berkata, secara keseluruhannya sebanyak 1,700 permohonan telah diterima bagi mengisi 667 kekosongan yang diperlukan.

Menurutnya, jumlah berkenaan sekali gus membuktikan ramai individu yang berminat untuk menjawat jawatan berkenaan (ketua kampung).

"Mulai Januari lalu, seramai 625 ketua kampung telah dilantik, jadi baki 42 ketua kampung masih lagi dalam proses pemilihan, temu duga dan sebagainya.

“Bagaimanapun, proses pelantikan (ketua-ketua kampung) juga sebenarnya masih dalam proses kerana ia membabitkan pelbagai perkara termasuk masalah dan isu pertindihan daripada masyarakat.

"Bagaimanapun, permohonan bagi jawatan ketua kampung ini dibuka untuk semua individu berusia 21 hingga 65 tahun dan mereka yang dilantik bakal menjalani pelbagai kursus termasuk mengambil Diploma Eksekutif Pengurusan selama tiga bulan, selain menikmati kenaikan elaun dari RM900 kepada RM1,200 mulai awal Januari lalu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Majlis Amanat Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi Bersama Ketua Kampung pada Ahad.

Sementara itu, ketika berucap, Onn Hafiz. mengumumkan peruntukan sebanyak RM667,000 kepada ketua-ketua kampung bagi melaksanakan program agenda Johor Bersih.

“Bagi agenda Johor Bersih, perkara yang dekat di hati saya. Setiap minggu kita sudah mula bergerak membersihkan Johor termasuk pihak berkuasa tempatan.

“Jadi sebagai permulaan, untuk membantu beli cangkul, plastik dan sebagainya, setiap ketua kampung akan menerima RM1,000 dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM667,000,” katanya.