'Jangan jual pakej umrah murah' - SAFFTA

"SAFTTA menyambut baik dan menyokong pengesyoran Papuh mengenai harga lantai bagi pakej umrah. Gambar kecil: Fathir Badri
"SAFTTA menyambut baik dan menyokong pengesyoran Papuh mengenai harga lantai bagi pakej umrah. Gambar kecil: Fathir Badri
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Solidariti Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) mengingatkan semua agensi pelancongan berlesen agar tidak cuba menjadi jaguh dengan menjual pakej umrah dengan harga rendah.

Presidennya, Dr Fathir Badri Alhadad berkata, semua agensi pelancongan berlesen perlu mematuhi harga lantai baharu pakej umrah yang disyorkan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) dan diperakui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

"SAFTTA menyambut baik dan menyokong pengesyoran Papuh mengenai harga lantai bagi pakej ekonomi umrah bermula daripada RM7,800 manakala bagi pakej VIP bermula dari RM14,000 bagi setiap jemaah.

"Ini memandangkan kos pengendalian jemaah umrah seperti harga hotel serta pengangkutan di Mekah dan Madinah yang melambung tinggi menyebabkan para pengendali umrah berlesen tidak dapat bertahan dengan harga sebelum ini.

"Bayangkan jika harga hotel lima bintang sebelum ini antara RM700 hingga RM1,000 tapi kini harganya antara RM1,600 hingga RM2,000 bagi setiap bilik satu malam," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan Papuh menetapkan harga lantai bagi pakej umrah ekonomi bermula daripada RM7,800 manakala pakej umrah premium atau VIP bermula RM14,000.

Presidennya, Datuk Seri Razali Mohd Sham berkata, ahli Papuh mencapai kata sepakat meletakkan harga lantai itu susulan kenaikan harga tiket penerbangan dan hotel penginapan di Madinah dan Mekah.

Berikutan itu, Fathir turut mengingatkan bakal jemaah umrah supaya jangan hanya melihat pada harga pakej yang rendah untuk membuat tempahan bagi mengelakkan mereka tertipu.

"Jemaah kena pastikan syarikat tersebut mempunyai lesen dan menawarkan harga yang wajar dalam keadaan semasa," tegasnya.

Mengulas lanjut, Fathir memberitahu, peningkatan harga pakej umrah tersebut juga sebabkan permintaan yang tinggi daripada jemaah dari seluruh dunia.

Justeru, katanya, harga berkenaan kita tidak dapat kawal kerana di luar bidang kuasa agensi berkaitan di Malaysia.

Bagaimanapun, Fathir menjelaskan, satu-satunya harga yang mungkin dapat negara kawal adalah dari segi kenaikan harga tiket penerbangan.

"Jika semua syarikat agensi pelancongan dapat membeli tiket secara terus daripada pihak penerbangan, pastinya harga akan lebih kompetitif. Yang menjadi masalah sekarang adalah kebanyakan agensi pelancongan terpaksa membeli tiket daripada agensi pelancongan yang mempunyai modal besar dan telah memonopoli tiket dari syarikat penerbangan.

"Sebagai contoh, pihak penerbangan AMAL by Malaysia Airlines melantik 10 agensi pelancongan untuk berurusan dengan mereka. AMAL menawarkan harga yang rendah kepada mereka dan 10 agensi pelancongan ini kemudiannya menjual semula tiket tersebut kepada agensi pelancongan lain dengan harga yang lebih tinggi.

"Persoalannya, apakah rasionalnya pihak Malaysia Airlines menubuhkan AMAL jika kerja menjual tiket diberikan kepada 10 syarikat ini sahaja," dakwanya.

Oleh itu, Fathir menegaskan, SAFTTA bersetuju dengan langkah yang diambil Papuh dalam mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat penerbangan seperti Saudia Airlines, Air Asia dan Air Arabia, yang mana mereka semua telah bersetuju untuk membuka tempahan tiket penerbangan terus dengan agensi pelancongan berlesen.

Menurutnya, usaha itu sekali gus akan dapat mengawal harga tiket daripada dimanipulasi pihak-pihak tertentu sehingga menjadi kartel tiket.

Kata beliau, sebagai langkah ke hadapan, pihak berwajib boleh menetapkan agensi pelancongan yang membeli tiket penerbangan secara pukal, hanya boleh menjualnya semula kepada agensi pelancongan lain tidak lebih dari 15 peratus dari jumlah tiket yang mereka beli atau mereka perlu pulangkan semula kepada pihak penerbangan dalam tempoh waktu tertentu.

"Ini bagi memastikan tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dalam isu tiket ini sekali gus menstabilkan harga di pasaran," ujar Fathir.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!