Lebih RM200 juta wang zakat disalurkan untuk bantu asnaf

Tengku Mohamad Rizam (dua dari kanan) pada Majlis Sidang Media Khas Terimaan dan perbelanjaan 2022 di Kota Bharu pada Khamis.
Tengku Mohamad Rizam (dua dari kanan) pada Majlis Sidang Media Khas Terimaan dan perbelanjaan 2022 di Kota Bharu pada Khamis.
A
A
A

KOTA BHARU - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyalurkan lebih RM200 juta wang zakat tahun 2022 untuk golongan asnaf di negeri ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus atau lebih RM174 juta berbanding tahun 2021.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Program Asnaf Fakir dan Miskin tahun lalu mencatatkan perbelanjaan agihan zakat terbesar iaitu sebanyak RM92,557,157.

“Program yang bermula pada Disember itu turut melibatkan agihan kepada asnaf fisabilillah berjumlah RM71,795,585 manakala RM4,337,399 untuk golongan mualaf,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sidang Media Khas Terimaan dan Perbelanjaan Zakat 2022 di sini pada Khamis.

Hadir sama, Mufti Kelantan, Datuk Shukri Mohamad dan Timbalan Yang Dipertua MAIK, Zulkifle Ab Rahman.

Tengku Mohamad Rizam memberitahu, perbelanjaan program di bawah asnaf amil pula mencatatkan nilai RM31,594,946.

Tambah beliau, terimaan zakat juga mencatatkan peningkatan sebanyak lapan peratus iaitu RM227,209,887 pada 2022 berbanding RM209,988,476 pada tarikh sama tahun sebelumnya.

Jelasnya, segmen terbesar ialah daripada zakat pendapatan iaitu RM132,582,396 diikuti zakat perniagaan yang berjumlah RM44,576,233 manakala RM22,114,589 untuk zakat wang simpanan.

“Jumlah zakat harta dan lain-lain zakat pula masing-masing berjumlah RM12,574,740 dan RM15,361,930.

“Faktor yang mendorong peningkatan zakat ialah kempen kesedaran berzakat melalui video pendek dan promosi di media sosial serta informasi daripada MAIK,” ujarnya.

Dalam pada itu, Tengku Mohamad Rizam memaklumkan, bantuan rumah kepada ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan asnaf menjadi penanda aras baharu melalui pelaksanaan penambahbaikan.

“Sebanyak RM12,771,618 telah dibelanjakan untuk membina rumah kepada 208 keluarga,” katanya.

Ujarnya, bantuan lain yang turut disenaraikan ialah untuk institusi agama, fasiliti masjid, kursus berkaitan dakwah dan guru agama MAIK.

Tengku Mohamad Rizam berkata, MAIK menyasarkan sebanyak RM240 juta kutipan zakat tahun ini berikutan penambahan jumlah pembayar zakat memandangkan kesedaran terhadap kewajipan itu semakin tinggi.

Menurutnya, sasaran itu juga berdasarkan keyakinan bahawa lebih lima peratus orang muda di bawah usia 40 tahun kini mula membayar zakat secara dalam talian.

“MAIK juga sentiasa berusaha untuk meningkatkan jumlah pembayar zakat bagi membolehkan lebih ramai penerima zakat dibantu,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!