Hasilkan karya berkualiti, bukan kontroversi

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

FILEM Pulau yang didakwa memaparkan adegan ‘panas’ dan melampau telah menerima kecaman pelbagai pihak sebelum ini.

Terbaharu, ia kembali menjadi topik hangat apabila kerajaan Terengganu telah membuat keputusan untuk tidak membenarkan filem kontroversi itu ditayangkan di semua pawagam di negeri berkenaan.

Perkara tersebut mendapat perhatian daripada penerbit filem Pulau, Fred Chong mengenai keputusan berkenaan kerana pengharaman filem yang akan ditayangkan di seluruh negara mulai 9 Mac depan memberi kesan besar buat mereka.

Beliau juga melahirkan rasa bimbang sekiranya ada negeri lain yang akan mengambil tindakan sama seperti dilakukan kerajaan negeri Terengganu.

Justeru, beliau menyatakan kesediaan untuk bertemu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu ekoran keputusan kerajaan negeri mengharamkan tayangan filem itu.

Menurutnya, pihaknya bersama wakil Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) akan ke Terengganu dalam masa terdekat untuk membuat rayuan dan menayangkan filem Pulau kepada wakil kerajaan negeri.

Beliau berkata, ia bertujuan memberi pencerahan supaya pihak berkenaan membuat penilaian sama ada filem itu mempunyai unsur 'soft porn' atau sebaliknya.

Dalam pada itu, kerajaan Terengganu menyatakan sedia bertemu penerbit filem Pulau bagi mendengar rayuan dan hujah yang akan dikemukakan berikutan keputusan pengharaman filem itu daripada ditayangkan di negeri berkenaan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya terbuka dan bersedia untuk bertemu penerbit filem tersebut serta menilai hujah yang akan dikemukakan.

Sudah tentu perkara sedemikian memberi pengajaran kepada mana-mana pembikin filem selepas ini supaya berhati-hati dalam menghasilkan karya yang tidak bertentangan dengan nilai ketimuran selain mengekalkan ketinggian budaya tempatan.

Tidak perlu memaparkan adegan panas semata-semata untuk melariskan filem kerana banyak filem tempatan mahupun luar negara mampu menghasilkan cerita berkualiti dan mendapat sambutan dalam kalangan penonton.

Sebagai contoh filem luar negara seperti King Richard dan The Martian mampu menghasilkan karya yang terbaik untuk memberi inspirasi kepada orang ramai tanpa memaparkan adegan panas, kontroversi dan bertentangan dengan nilai budaya tempatan.

Justeru, selepas ini penggiat filem perlu lebih berhati-hati supaya tidak mencetuskan kontroversi dengan memaparkan kandungan yang mengundang kritikan.

Pengkarya harus faham bahawa pembikinan sebuah filem atau drama tidak memerlukan kepada nilai bertentangan dengan budaya tempatan untuk menarik perhatian penonton sebaliknya bagaimana garapan jalan cerita disampaikan menyentuh emosi penonton.

Kesimpulan, apa yang penting dalam sebuah hasil seni itu adalah kajian lebih menyeluruh terhadap skrip dan jalan ceritanya bagi menghasilkan plot yang menarik, santai dan berkualiti bagi penggemar filem dan bukannya menghasilkan kandungan tidak sepatutnya yang mencetuskan kecaman.

Diharapkan isu tersebut mendapat penyelesaian terbaik antara kedua belah pihak selain menjadi pengajaran kepada pembikin filem untuk menghasilkan karya yang berkualiti dan bukannya kontroversi pada masa akan datang.