Kerajaan kaji teruskan subsidi ayam, telur - Mat Sabu

Mohamad ketika bercakap kepada media selepas merasmikan program Malaysia Madani: Perikanan Cukup dan Terjamin di Hutan Melintang pada Sabtu.
Mohamad ketika bercakap kepada media selepas merasmikan program Malaysia Madani: Perikanan Cukup dan Terjamin di Hutan Melintang pada Sabtu.
A
A
A

BAGAN DATUK - Kerajaan akan mengkaji keperluan untuk meneruskan pemberian subsidi kepada penternak ayam dan pengeluar telur pada Jun ini.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sebanyak RM1.8 bilion subsidi sudah dibelanjakan setakat ini.

Menurutnya, peruntukan itu dijangka meningkat kepada lebih RM2 bilion menjelang pertengahan tahun ini.

"Menjelang Jun, kita akan buatkan kajian untuk teruskan subsidi atau kaedah lain bagi memastikan harga bahan mentah tersebut kembali stabil.

"Dalam tempoh itu, subsidi dijangka melebihi RM2 bilion. Wang itu boleh digunakan di tempat lain yang lebih memerlukan.

"Itu yang sedang kita kaji, kalau harga sudah stabil apa perlu lagi subsidi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Malaysia Madani: Perikanan Cukup dan Terjamin di Hutan Melintang di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun.

Berkaitan laporan telur import dari India busuk dan rosak, Mohamad memaklumkan bahawa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan melakukan pemeriksaan segera.

"JPV akan buat pemeriksaan segera bagi memastikan telur yang dibekalkan berkualiti.

"Kita juga sedang berusaha meningkatkan bekalan telur gred biasa berbanding omega di pasaran tempatan," katanya.

Media melaporkan MAFS digesa memastikan telur yang diimport berada dalam keadaan baik agar tidak menjejaskan kesihatan pengguna.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) mencadangkan kementerian terbabit perlu memastikan telur berkenaan diperiksa terlebih dahulu bagi mengelakkan pengguna membeli telur yang sudah tamat tempoh.