Pelajar mudah terperangkap jadi keldai akaun

Antara yang hadir dalam Forum Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Menara Digi Celcom di Petaling Jaya pada Sabtu. (Gambar kecil: Victor)
Antara yang hadir dalam Forum Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Menara Digi Celcom di Petaling Jaya pada Sabtu. (Gambar kecil: Victor)
A
A
A

PETALING JAYA - Desakan untuk mendapatkan wang lebih selain penipuan pekerjaan antara faktor golongan pelajar dikesan diperangkap scammer untuk menjadi keldai akaun.

Timbalan Pengarah (Jenayah Siber dan Multimedia), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos berkata, pelajar antara golongan dikesan mudah menjadi mangsa scammer.

Menurutnya, terdapat dua situasi iaitu pelajar tidak sedar telah diperdaya menjadi keldai akaun dan ada yang sedar kerana ingin mendapatkan upah atau bayaran tertentu.

"Siasatan dijalankan mendapati kebanyakan kes golongan pelajar ini terperangkap apabila mereka terperdaya menerusi iklan pekerjaan di laman sosial, mereka isikan segala butiran termasuk nombor akaun dan sindiket ambil kesempatan gunakan akaun mereka ini untuk tujuan penipuan.

"Ada kes lainnya segelintir pelajar ini mereka kesempitan wang dan mereka ini menggunakan cara dengan menjual akaun mereka kepada pihak sindiket dan dibayar dengan bayaran tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas Forum Jelajah Anti Scam Kebangsaan 2023 di Menara Digi Celcom di sini pada Sabtu.

Katanya, dalam situasi melibatkan kes ini, nama mereka akan disenaraihitamkan.

"Maklumat akaun bank yang digunakan sebagai akaun keldai akan dikongsi oleh pihak polis dengan semua institusi kewangan supaya pemiliknya disenarai hitam daripada membuka akaun baharu.

"Secara langsung, akan timbul masalah apabila mereka ini apabila hendak membuka akaun dengan pihak bank," katanya.

Ujar Victor, mereka yang menghadapi kesukaran ini boleh merujuk kepada pihak JSJK untuk tindakan selanjutnya.

"Jangan terlalu mudah percaya degan sebarang tawaran kerja yang mencurigakan di media sosial, semak terlebih dahulu dengan pihak yang berkenaan.

"Tindakan tegas akan diambil dengan menangkap mana-mana pihak yang membenarkan akaun bank mereka digunakan untuk tujuan penipuan," katanya.