MP Temerloh kesal berita palsu kematiannya

Mohd Anuar meluangkan masa bersarapan di Kampung Bangau, pagi tadi.
A
A

TEMERLOH - Ahli Parlimen Temerloh, Mohd Anuar Tahir kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab menularkan berita palsu mengenai kematiannya di laman sosial sejak semalam.

Menurutnya, pelbagai panggilan diterima daripada ahli keluarganya sejak awal pagi yang ingin turun ke Temerloh berikutan penularan berita tersebut.

"Panggilan bertubi-tubi dari adik-beradik, ahli keluarga dan barisan Kabinet serta rakan-rakan sejak malam tadi.

"Sedih kerana ada ahli keluarga yang tidak sihat jadi berita sebegini amat dikesali," katanya kepada Sinar Harian di sini,hari ini.

Mohd Anuar bagaimanapun mengakui sebagai ahli politik berita negatif antara ragam yang perlu dihadapi, namun hal kematian sebegitu dianggap melampau dan menyinggung terutamanya ahli keluarganya.

Mohd Anuar meluangkan masa bersarapan di Kampung Bangau, pagi tadi.
Mohd Anuar meluangkan masa bersarapan di Kampung Bangau, pagi tadi.

"Saya harap tindakan begini tak berulang dan mengharapkan pihak berkuasa bertindak ke atas pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab daripada terus berleluasa menyebarkan fitnah.

Terdahulu, tular di laman sosial dan aplikasi WhatsApp sebuah rakaman suara dan pengumuman mengenai kematian beliau yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya.

Rakaman suara itu berbunyi, "berita terbaru diterima Ahli Parlimen Temerloh, Timbalan Menteri Kerja Raya, Anuar Tahir telah kembali ke Rahmatullah. PRK lagi. PRK lagi..siap siaga".

Difahamkan satu laporan polis akan dibuat Setiausaha Peribadinya, Ahmad Tarmizi Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh, hari ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia