APMM Tawau tahan remaja lelaki seludup keluar 1 tan gula

A
A

TAWAU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan seorang remaja lelaki di kedudukan 1.5 batu nautika dari Sungai Pukol, Sebatik di sini, selepas cuba menyeludup keluar lebih 1 tan gula bersubsidi ke Indonesia, pada Jumaat.

Timbalan Pengarah Zon (Operasi) Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin berkata remaja tempatan berusia 18 tahun itu ditahan pada 5.15 petang selepas pihaknya yang dalam Ops Pluto terserempak bot jongkong dikendalikan suspek membawa muatan gula seludup itu sebelum periksa.

"Pemeriksaan awal mendapati bot jongkong tersebut membawa muatan gula bersubsidi tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Tawau," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, tahanan dan barang rampasan kira-kira RM50,000 itu ditunda ke Jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Menurutnya, pihaknya akan terus meningkatkan rondaan serta penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras dan mengurangkan perlanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Katanya, orang ramai disarankan untuk memberikan kerjasama dengan menyalurkan maklumat mahupun aduan salah laku jenayah maritim menerusi Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999.- Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia