Ringgit susut bukan sebab kegagalan BNM - MOF

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Penyusutan nilai mata wang ringgit lebih didorong oleh fenomena global dan pengaruh pasaran, bukan disebabkan kelemahan asas ekonomi negara atau kegagalan langkah-langkah yang diambil kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM), kata Kementerian Kewangan (MOF).

Menurutnya pada 2022, dunia mengalami kejutan apabila Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah dengan magnitud besar iaitu sebanyak 425 mata asas (bps) dalam tempoh yang singkat antara Mac hingga November 2022 bagi menangani isu inflasi tinggi.

Peningkatan kadar faedah AS yang tinggi dan lebih agresif berbanding bank pusat lain telah mendorong nilai mata wang dolar AS melonjak naik berbanding hampir kesemua mata wang sedunia termasuk nilai ringgit, katanya.

"Malaysia menerusi BNM hanya menaikkan kadar faedah secara beransur-ansur dengan kenaikan kumulatif sebanyak 100 bps sebanyak empat kali sejak Mei hingga November 2022.

"Keadaan ini menyebabkan kadar pertukaran ringgit berbanding dolar AS telah menyusut nilai sebanyak 12.2 peratus dari Januari hingga 4 November 2022,” katanya menerusi jawapan yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) yang menyatakan kejatuhan ringgit ke paras terendahnya kepada RM4.74 berbanding dolar AS pada September 2022 membuktikan langkah-langkah diambil BNM sebelum ini gagal dan ingin tahu langkah efektif segera untuk membendung kemerosotan ringgit.

MOF berkata, pendekatan BNM bertumpu kepada memastikan pelarasan ringgit dalam keadaan teratur, justeru membantu perniagaan merancang dan melaksanakan keputusan perbelanjaan dan pelaburan dengan baik.

"Risiko daripada penurunan mendadak nilai pertukaran ringgit berbanding dolar AS juga dikurangkan oleh penggunaan instrumen lindung nilai, penekanan kepada pinjaman luar yang berhati-hati dan kedalaman pasaran mata wang dalam negeri yang tinggi,” katanya. - Bernama