Perak lulus lantikan 286 ahli majlis

Saarani ketika mengumumkan kelulusan lantikan 286 ahli majlis PBT berkuat kuasa pada Khamis sehingga 15 Februari tahun depan.
Saarani ketika mengumumkan kelulusan lantikan 286 ahli majlis PBT berkuat kuasa pada Khamis sehingga 15 Februari tahun depan.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak meluluskan pelantikan 286 ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkuat kuasa pada Khamis sehingga 15 Februari tahun hadapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelantikan di semua 15 PBT itu membabitkan 215 kalangan ahli majlis lelaki, manakala 71 lagi iaitu 25 peratus adalah wanita.

Menurutnya, pengisian kuota bagi ahli majlis PBT secara keseluruhannya adalah seramai 325 orang, bagaimanapun baki 39 nama akan dicadang pada fasa dua pelantikan.

"Kelulusan ini diberikan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri semalam (Rabu).

"Pelantikan mereka sepertimana dicadangkan oleh parti-parti kerajaan memerintah antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika sidang akhbar sempena program Mesra Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulia di sini pada Khamis.

Beliau berkata, cadangan pengisian kuota ahli majlis PBT pada tahun ini adalah tertakluk kepada syarat-syarat pelantikan seperti terkandung dalam Garis Panduan Pelantikan Ahli Majlis PBT Negeri Perak Darul Ridzuan tahun 2023.

Katanya, mengikut garis panduan berkenaan, calon-calon mestilah memenuhi syarat-syarat kelayakan termasuklah berusia antara 18 hingga 65 tahun, sihat tubuh badan serta tidak mempunyai rekod jenayah atau tindakan tatatertib.

"Pindaan had umur lantikan calon ahli majlis yang bermula daripada 18 tahun adalah selaras dengan had umur kelayakan mengundi iaitu bermula pada umur 18 tahun," katanya.

Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri juga meluluskan penubuhan Jawatankuasa Penyelaras Pemilihan dan Penilaian Prestasi Ahli Majlis PBT yang dipengerusikan oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching.