Tindakan radikal segelintir umat Islam cetus sentimen Islamofobia

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan radikal segelintir umat Islam seperti melakukan keganasan yang menyimpang daripada ajaran Islam sebenar menjadi antara penyumbang kepada sentimen Islamofobia di seluruh dunia.

Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sesetengah umat Islam sudah menyimpang daripada ajaran Islam sehingga membawa imej dan persepsi negatif kepada agama.

Bekas perdana menteri itu berkata, ia berpunca daripada sifat individu berkenaan melakukan sesuatu dengan tidak berlandaskan syariat Islam.

"Ada yang lari daripada agama, buat benda-benda yang tak disuruh agama, lakukan keganasan, ini bukan cara kita, bukan ajaran Islam.

"Malah ada juga kes umat Islam itu sendiri berpecah-pecah, di satu tempat ada terbahagi dua, ini tidak patuh pada ajaran agama,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Dakwah Kebangsaan anjuran Perkim di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, pada asasnya, Islam merupakan agama keamanan serta mengalakkan umatnya agar cintakan kedamaian.

"Sebab itu setiap kali kita jumpa orang pun, kita ucapkan ‘peace be upon you’ (Assalamualaikum/selamat sejahtera ke atas kamu), ini cara kita yang sebetulnya, kita tidak boleh lari,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam perlu menonjolkan diri sebagai golongan yang bertamadun selain menghormati kepercayaan orang lain.

"Jangan kita. Itu contoh tidak menghormati kepercayaan orang lain (tindakan bakar Al Quran oleh ahli politik di Sweden) dan tindakan golongan yang tidak bertamadun malah sengaja mahu bermusuh,” katanya. - Bernama