Polis berkas lelaki disyaki jual air ketum, mercun

Ismail (tiga dari kiri) menunjukkan bungkusan air ketum dan sebahagian kotak mercun yang dirampas pada serbuan berkenaan.
Ismail (tiga dari kiri) menunjukkan bungkusan air ketum dan sebahagian kotak mercun yang dirampas pada serbuan berkenaan.
A
A
A

BATU PAHAT – Polis menahan seorang lelaki warga tempatan pada Rabu, kerana disyaki terlibat dalam penjualan air ketum selain merampas pelbagai jenis mercun hasil serbuan di sebuah rumah di kawasan Yong Peng, pada Rabu.

Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di Taman Bukit Tropika sekitar 6 petang bersama rampasan cecair disyaki air ketum dengan anggaran kuantiti 530 mililiter (ml).

Katanya, polis turut merampas daun-daun yang disyaki daun ketum yang dianggarkan seberat 216 gram.

“Pada serbuan berkenaan, polis turut menemui 29 kotak besar dan tujuh guni pelbagai jenis mercun.

“Nilai rampasan bagi pelbagai jenis mercun berkenaan dianggarkan berjumlah RM20,000 dan dipercayai untuk pasaran dalam daerah Batu Pahat dan kawasan sekitarnya.

“Hasil ujian air kencing, lelaki yang ditahan didapati negatif selain tidak mempunyai rekod kesalahan dadah dan jenayah lampau,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Ismail, lelaki berkenaan ditahan reman selama tiga hari mulai 16 Februari hingga 18 Februari 2023 untuk siasatan lanjut.

Kes tersebut disiasat bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana memiliki cecair disyaki air ketum dan daun-daun disyaki daun ketum.

Bagi kesalahan memiliki pelbagai jenis mercun pula, kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.