1.1 juta dos vaksin Covid-19 tamat tempoh

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 1.1 juta dos vaksin Covid-19 dilaporkan telah tamat tempoh antara satu hingga 212 hari membabitkan jenama Cansino, Comirnaty dan AstraZeneca.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membelanjakan sejumlah RM4.462 bilion daripada RM5.577 bilion peruntukan bagi perolehan 75.88 juta dos vaksin terdiri daripada vaksin Comirnaty, AstraZeneca, CoronaVac dan Convidecia.

Semakan audit juga mendapati setakat April 2022, sebanyak 71.26 juta dos sudah digunakan dan masih mempunyai baki sebanyak 11.59 juta dos vaksin.

"Daripada jumlah baki itu, sebanyak 1.1 juta dos vaksin sudah luput tempoh jangka hayat antara satu hingga 212 hari.

“Bagaimanapun nilai perolehan dos vaksin melalui perolehan kerajaan yang telah tamat tempoh hayat tidak dapat ditentukan pihak audit kerana perekodan vaksin melalui VMS (sistem pengurusan dan pemantauan vaksin) tidak dapat dikategorikan berdasarkan kaedah perolehan vaksin,” katanya ketika taklimat kepada media mengenai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Siri 2 Tahun 2021 pada Khamis.

Sehingga April 2022, jumlah keseluruhan vaksin yang diterima adalah sebanyak 82.85 juta dos dan bekalan vaksin dilapor diterima daripada kerajaan negeri, pembelian oleh pihak swasta dan sumbangan dari luar negara.

Dalam pada itu Nik Azmin memaklumkan, KKM telah memuktamadkan perolehan berjumlah 1.387 dos daripada jumlah keseluruhan 6.473 dos yang dipersetujui melalui Global Alliance for Vaccines and Immunization (GAVI).

“Selaras dengan kadar pemberian vaksin Covid-19 di Malaysia, KKM buat masa ini tidak menerima pelawaan terkini GAVI untuk sebarang pembelian vaksin tambahan.

“Oleh itu terdapat keperluan kajian semula perjanjian antara KKM dan GAVI mengenai keperluan pembelian vaksin yang baharu untuk mengelak pembaziran,” katanya.